Friday 22 March 2013

Pulang


Thinking of you makes my life complete. You're my golden clouds; you're my smile. 

You are all the soulful love songs within my spirit, like an angel calling me... perfect for my soul

*****
Dengan lafaz Bismillah, kaki melangkah masuk ke rumah peninggalan arwah ayah.
Saya berjalan perlahan lahan dari satu bilik ke satu bilik yang lain. Memori semalam bagai berputar secara automatik di fikiran. Kenangan demi kenangan menggamit fikiran. Terlihat ayah tegas mengajar kami mengaji. Terngiang-ngiang suara ibu memarahi tatkala pasu kesayangannya pecah. Di sana pula, kami makan malam bersama. Ah..semuanya masih segar di ingatan.

Kaki meneruskan langkah..menghampiri bilik terakhir, bilik yang pernah saya kongsi bersama adik, sebelum rajuk membawa saya jauh ke rantau orang.  Tangan menyeka airmata seraya mencapai tombol pintu. Saya harus segera. Petang kian menjelang dan kegelapan pasti menyelimuti rumah usang ini. Bekalan elektrik telah lama tiada sejak sekian lama.

Apakah semuanya masih seperti dahulu? Saya takut. Takut dan gementar untuk melihat apa yang ada di dalam bilik tersebut..
Menggigil tangan tatkala pintu terbuka luas.
Mata menerawang keseluruh ruang bilik. Meja dia, buku-buku dia, piala dia, anak patung kesayangan dia. Segalanya kepunyaan dia. Di satu sudut bilik, dinding dipenuhi dengan sijil sijil pencapaiannya. Almari? Pakaiannya masih tersusan kemas walau terdapat bau lapuk barangan yang lama tak disentuh.

Kaki melangkah lagi, menghampiri meja tulis. Penuh bertampal dengan gambar adik, dari bayi hingga dewasa. Gambar adik menunggang basikal, gambar adik ketawa sewaktu dalam dokongan ayah, gambar adik dengan piala badmintonnya...dan ..oh.. sekeping gambar segera menarik perhatian saya. Bukankah gambar ini sepatutnya gambar saya sedang berdiri disebelah adik? Tapi ianya telah di potong separuh dan gambar saya telah dibuang. Sampai hati adik. Tak cukupkah dengan menghalau saya jauh dari sini?
Saya memang bodoh. Apa yang saya fikirkan sewaktu kembali ke sini? Apa bukti yang saya perlukan lagi? Apa yang saya cari? Mengubah sejarah? Tak mungkin.
Sebenarnya, saya tidak berfikir secara rasional. Kesedihan yang melanda kelmarin membuat saya memandu semula ke sini tanpa berfikir panjang. Mungkin saya ingin mencari secarik kasih dan sayang dari waktu silam untuk buat saya kembali tabah dan tenang. Alangkah bodohnya saya.
Berlari pantas keluar dari rumah tersebut. 
Airmata mengalir deras menghalang penglihatan. Menekan minyak. Dan kereta meluncur tanpa kawalan, melanggar tuang pagar. Bunyi hon memekakkan telinga. Tangisan semakin deras. Apa yang saya harapkan sebenarnya dengan datang ke sini? Keluarga? Cinta? Kasih Sayang? Ketenangan?

Saya mahu pulang. Saya hanya mahu pulang semula ke hiruk pikuk bandaraya dan segala kerja yang bertimbun di pejabat. Saya mahu lupakan segalanya. Saya mahu pulang...

No comments:

Post a Comment