Thursday 24 January 2013

Cinta Beralih Arah



Sejahtera untuk awak berdua.
Ini memang hal yang aneh untuk saya. Malah mungkin juga untuk awak berdua. Keanehan ini memang bukan pilihan kita. Kadangkala ada perkara yang kita mahu, tapi lain pula jadinya. Pernah juga saya terfikir: adakah surat ini dapat meleraikan apa yang tersimpul dalam hati masing masing? Biarpun simpulan itu mampu dilonggarkan , ianya tetap menjerat hati.

Untuk Tasha, saya akui saya memang ada menaruh hati pada awak. Kalau awak pernah perhatikan saat air berkocak bila ada batu dilemparkan, begitulah umpamanya perasaan saya bila pertama kali bertemu dengan awak. Silapnya, saya bukan seorang lelaki yang berani berterus terang. Saya hanya seorang pencinta yang berani memerhati dari hujung sana. Seperti burung yang hanya memerhati keindahan suria yang terbenam.

Untuk Haliza, sebenarnya awak memang wujud dalam lingkungan mata saya. Tetapi kerana awak sentiasa bersama Tasha, awak adalah umpama awan yang meliputi puncak gunung. Orang akan memerhatikan gunung dahulu. Tetapi saya akui awak adalah awan putih yang terpilih.

Untuk semua, saya telah berfikir banyak tentang hal ini dan ianya sebenarnya mudah. Seperti yang saya katakan, saya memang menaruh hati kepada Tasha dan hari itu sewaktu kita bertiga ke rumah saya, tujuan nya adalah untuk mengenalkan Tasha kepada ibu dan memohon restunya. Namun bila ibu tiba tiba menyentuh dan mengangkat dagu Haliza, hati saya tiba tiba gundah. Saya bungkam dan jadi tidak mengerti dengan perasaan saya sendiri. Turutkan rasa hati atau turutkan pilihan ibu. Sedangkan awak berdua adalah sahabat karib.

Semalaman saya berfikir. Namun siapalah saya? Sedangkan Nabi Ismail sendiri boleh menceraikan isterinya semata mata untuk menunaikan suruhan ayahnya, apatah lagi saya seorang biasa yang bukan apa apa pun. Bagaimana saya hendak menolak permintaan ibu sedangkan syurga di bawah telapak kakinya? Ibu tidak memaksa, namun naluri keibuaan nya pasti tepat dalam memilih siapa yang sesuai untuk anaknya.

Maafkan saya, Tasha, kerana saya tidak mampu untuk meneruskan hajat hati memiliki diri dan hati awak. Namun, ketahuilah, awaklah yang terbaik

Maafkan saya, Haliza, kerana mengalihkan perasaan hati ini daripada Tasha, teman baik awak, kepada diri awak. Mungkin saya sedikit angkuh bila mengatakan yang saya khuatir awak berdua akan berjauhan bahu hanya kerana saya. Tetapi saya yakin awak berdua bukan seperti pasir, hanya kerana riak ombak melanda, ianya terus berubah.

Sekali lagi, Tasha..maafkan saya. Haliza, terimalah saya dalam hidup awak kerana rasanya belum lagi terlewat dan tidak terlalu cepat kerana saya yakin dengan restu ibu dan satu perasaan yang di namakan cinta..
************************
 ~Fragment dari 'Dunia Ini Sederhana Kecil' -Baharuddin Bekri-~

No comments:

Post a Comment