Friday 18 January 2013

Bangun Semula



Acapkali bila seseorang itu terjatuh, pandangannya akan tunduk ke bawah.
Mungkin cuba mencari apakah punca yang menyebabkan dia terjatuh: batu, kayu, lubang. Mungkin juga cuba untuk menyalahkan tanah: tanah tak rata hingga dia yang jadi mangsa. Atau mungkin juga untuk menghilangkan merah di muka, menahan malu sekiranya ada ramai yang memerhati saat kejatuhan tadi. :)  Apa sebenarnya yang dia nampak bila pandang ke bawah ye? Tanah atau lantai tentunya.
Kehidupan sebenarnya begitu juga. Apa faedahnya memandang ke bawah sepanjang masa? Pandangan hanya ke tanah, tidak nampak ada tangan yang menghulur untuk membantu bangun semula?
Hari ini, angkatlah wajah dan tataplah sekeliling. Dari masa ke semasa, kita pasti akan tersadung sesuatu dan jatuh..tapi kita mampu bangkit semula. Jangan jadikan ianya sesuatu yang besar. Angkatlah kepala dan pandang ke atas. Pandanglah ke langit biru.
Setiap orang pasti tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Dan setiap kali ianya berlaku, kita akan rasa bersalah. Semakin kita mengumpul dan melihat kesipan kesilapan yang kita lakukan, semakin kita akan tertekan dengan perasaan bersalah. Adakalanya kesan kesilapan tersebut adalah besar: perhubungan mungkin terjejas, keluarga berpecah belah.
Habis tu, adakah kita patut duduk diam, dengan harapan bila berbuat demikian kita tak akan melakukan sebarang kesilapan? Tidak, kita perlu teruskan hidup dan lakukan apa yang kita rasakan terbaik. Belajar dari kesilapan. Jatuh dan bangun semula, cuma jangan jatuh lagi di tempat yang sama.
Memaafkan orang lain itu perlu. Namun, cuba memaafkan diri sendiri itu lebih perlu. 




No comments:

Post a Comment