Monday 25 February 2013

Berlari Ke Langit I




Kata Dia: Apa yang awak risaukan ye? Seakan memikul seribu beban, berkedut dahi tu. Cuba cerita pada saya. 

Saya mengalihkan pandangan dari lukisan di dinding pejabat dan memandang tepat ke mata dia. Saya cuma salah seorang dari puluhan pesakit yang datang berjumpa dengannya. Apa benar dia ingin mendengar cerita saya atau hanya sekadar pemanis bicara. Bukankah orang Melayu memang sinonim dengan sopan santunnya? Seperti pepatah ada menyebut 'Biar mati anak, Jangan mati adat". Mungkin begitu lah juga dengan pertanyaan yang dia ajukan.

Kata dia:  Saya serius ingin tahu apa yang awak fikirkan.  Lagipun, kalau boleh saya tak mahu lihat awak di sini lagi selepas ni.

Ok. Begitu sebenarnya. Dia hanya risaukan saya mengambil ruang katil yang mungkin boleh diberikan kepada pesakit lain yang lebih perlukan rawatan. Saya tunduk sambil tersenyum. Sekurang kurangnya saya telah dapat jawapan saya.Oh ya. Saya ada sesuatu yang lebih penting yang perlu saya tanya pada dia.

Kata saya: Saya rasa saya pun tidak mahu mengambil terlalu banyak masa Tuan Doktor. Tapi..saya ada satu permintaan. Bolehkah saya hentikan sessi terapi saya?

Kata dia: Kenapa? Awak baru saja selesai jalani dua sessi terapi dan awak nak hentikan? Tidak ada jalan ringkas untuk sembuh. Awak tahu itu bukan. Makan ubat saja tidak mencukupi.

Kata saya: Maafkan saya. Bukan untuk mengkritik tapi saya tidak suka program terapi yang disusunkan untuk saya. Orang lain berjalan atas 'treadmill', angkat berat, buat latihan kaki.. saya disuruh duduk diam tanpa bergerak selama 1 jam setengah. Duduk tegak, dengan kepala diikat dengan pemberat..Saya mahu lakukan latihan seperti orang lain.

Kata dia: Setiap sessi latihan dibuat khusus untuk keperluan setiap individu. Awak tahu tak yang ada diantara mereka adalah pesakit jantung, pesakit lelah.. Bukan semua mengalami kecederaan yang sama seperti awak. Bersabar sikit ye..

Kata saya: Tapi latihan ini tidak memberi sebarang motivasi. Malah, berat bagi saya.. saya tidak boleh duduk diam. Ianya bukan saya.  Hmm..bagaimana Tuan Doktor kalau kita kompromi? Saya akan gembira, Tuan Doktor juga tidak akan perlu lagi melayan kerenah saya. Win-win situation bukan?

Kata dia: (ketawa) Siapa doktor di sini? Pertama kali saya dengar ada pesakit ingin membuat 'rundingan'. Baiklah, Apa cadangan awak?

Kata saya: Kita batalkan semua sessi terapi ini. Dan saya berjanji saya tidak akan berlari, malah saya akan mencuba berurut cara kampung. Itu pun satu kaedah terapi bukan? Lagi pun, doktor sendiri kata yang selagi saya tidak berikan tekanan pada tulang belakang, saya tidak akan cedera, bukan?

Kami bertelagah, berbincang sehingga akhirnya dia mengalah. Yes, saya telah dapat apa yang saya inginkan: berhenti dari terapi tersebut.

Kata dia: Awak ni memang degil bukan. (senyum) Baiklah, saya akan tandatangan surat pelepasan untuk insurans dan kita tutup cerita terapi ini. Saya harap awak jaga diri awak baik baik.

Saya hadiahkan dia sebuah senyuman. Saya akan buat apa yang saya rasakan terbaik untuk saya. Maaf Tuan Doktor, saya bukan degil. Saya hanya ingin berlari dan kalau boleh hingga ke langit. Mengejar masa yang semakin singkat.
Saya ingin berlari ...

No comments:

Post a Comment