Wednesday 6 February 2013

Pentas Dunia


Sebaik saja kaki melangkah keluar dari masjid, terdengar suara dia memanggil saya. Semakin saya percepatkan langkah, semakin kuat dan dekat bunyi derapan seliparnya menghampiri saya. Sebaik saja kami bersaing, terus dia mengajukan soalan sambil memandang tepat ke dalam mata saya. 
Lantas saya memandang ke langit, tersenyum dan bercerita tentang juadah berbuka sebentar tadi. Juadah-juadah pemberian jiran juga begitu banyak sekali: puding jagung dari Cik Senah, sambal goreng dari Makcik Milah, rendang dari Mak Mah dan karipap sardin dari Mak Temah. Satu selepas satu cerita saya hidangkan. 
Kata dia memotong percakapan saya : Awak, awak ok tak?
Saya terdiam. Soalan yang sebegitu senang, tiba-tiba menimbulkan sebak apabila ianya datang dari dia. Apa yang harus saya katakan? Bagaimana ingin diterangkan apa yang tersirat di hati.
Bagaimana ingin diluahkan kesedihan di hati apabila mereka disekeliling begitu prihatin dan cuba untuk membuatkan saya senyum sentiasa.
Realitinya saya sebenarnya ingin lari mencari satu ruang di mana saya boleh menjadi diri saya seketika ... dan menangis. Sepuas-puasnya. Semahu-mahunya.

Sesungguhnya kesedihan yang semakin terkumpul ini amat menyeksakan. Mereka mengagumi kecekalan saya. Kata mereka betapa waima saya bertubuh kecil dan kelihatan lemah, saya sebenarnya seorang yang kuat dalam menghadapi apa jua musibah. Namun, apa yang tidak mereka ketahui, saya sebenarnya tidak sekuat mana. Saya amat letih cuba jadi sesempurna yang mereka harapkan. Terasa seakan beban yang mengasak di dada.

Menarik nafas panjang dan melepaskannya semula perlahan lahan. Tidak, saya tidak akan membenarkan airmata ini mengalir. Saya masih boleh bertahan. 
Beserta dengan sebuah senyuman, saya menarik nafas yang amat panjang. Saya memandang dia dan menukar topik perbualan; bertanya tentang keluarganya serta hal-hal umum. Dia diam seketika, kemudian membalas senyuman saya seraya mula bercerita.
Suasana kembali ceria, di selang seli kan dengan paduan ketawa dia dan saya.
Bukankah dunia ini sebuah pentas lakonan? Kita, sebagai pelakon, hanya melakonkan peranan, bersembunyi dibalik topeng, mempamerkan riak wajah memenuhi kehendak penonton. Sehingga ada yang ingin merentap topeng, sudi melihat seraut wajah rahsia hati. Segalanya terpendam, mungkin sehingga tirai pentas berlabuh.
Senyum.  Saya ok.

No comments:

Post a Comment