Sunday 5 February 2012

Jalan Yang Berliku


Arwah ayah pernah berpesan..
Katanya dalam hidup ini kita tak boleh bergantung atau percaya 100% pada orang lain.

Seperti biasa, saya pantas bertanya pada dia:
Kenapa ye? Walaupun orang itu orang yang paling hampir dengan kita? Walaupun orang tu orang yang paling kita sayang?

Jawab arwah ayah:
Kerana waktu berputaran. Kita tak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang, Satu hari nanti, sama ada dia akan berubah..ataupun kita sendiri yang akan berubah. Untung bila yang seorang mahu mengalah, mencuba untuk ikut arus perubahan pasangannya. Tapi ..malang bila perubahan berlaku dan masing masing dah tak boleh sehaluan lagi.
Andai kita letakkan harapan kita tu 100% pada dia..dan tiba tiba satu hari harapan tu terus menjunam ke 0%..apa yang tinggal? Bagaimana nak diteruskan perjalanan hidup jika satu satunya cahaya yang selama ini kita pilih sebagai penyuluh jalan kita tiba tiba hilang? Pasti terasa sakit yang belum tentu boleh di ubat..
Saya terdiam. Cuba menelan kata kata ayah tapi saya tak boleh bayangkan sepenuhnya apa yang arwah ayah ingin sampaikan. Mungkin juga saya ni seorang yang degil. Mungkin juga saya fikir saya lebih berhati hati, maka saya boleh kawal situasi bila tiba masanya. Saya tak akan jadi manusia selemah itu. Hmm..Orang muda memang berjiwa panas. Semuanya begitu optimis.
**************
Saat ini, baru saya faham apa itu yang dikatakan tekanan perasaan. Ianya adalah bila manusia tidak dapat menerima hakikat kehidupan..dan lupa akan asal kejadian.

Kini saya mula faham apa yang arwah ayah cuba sampaikan dan apa itu yang dinamakan kehilangan. Air mata jatuh setitik demi setitik, dan semakin deras. Dada terasa sebak. Terasa diri terlalu rapuh dan amat mudah berputus asa.
Dimana diri saya yang dahulu..? Dimana saya yang pernah sebegitu optimis? 
Hanya dengan ujian sebegini, saya hampir jatuh tersungkur. Begitu mudah merasakan yang diri keseorangan..sedangan Tuhan Yang Maha Pengasih sentiasa ada. Diberikan Nya cahaya agar  sentiasa ada teman yang mengiringi saya.. sentiasa ada yang menghulurkan tangan untuk membantu saya bangun semula ketika saya benar benar terasa tidak berupaya.

Saya masih belum benar benar kuat. Kesedihan masih sesekali melanda bagai tsunami. Tapi selagi ada upaya, saya akan mencuba mencari kembali semangat yang hilang. Tuhan, janganlah dihilangkan sejalur cahaya itu...

No comments:

Post a Comment