Sunday 22 January 2012

Ombak dan Badai


Saya tersenyum mendengar dia bercerita.

Katanya usia perkahwinan dia baru memasuki tahun yang ke 2 dan dia bersyukur kerana masih dapat mengekalkan ianya sehingga ke hari ini. Kata dia lagi, dia selalu terasa gerun bila membaca cerita tentang perceraian di akhbar kerana bimbang andai ianya berlaku ke atas diri dia. 
Saya tersenyum. Saya dan dia memang berbeza.
Saya tidak pernah berfikir tentang topik ini. Pada saya, sudah pasti setiap orang harapkan perkahwinan mereka akan sentiasa ceria, kekal indah sentiasa tanpa sebarang konflik di dalamnya untuk selama lama. Tak siapa berkahwin dengan niat untuk sehari atau sebulan.

Si Dia masih lagi bercerita, tanpa henti, seakan dunianya tidak pernah dilanda ombak dan hidupnya sentiasa indah.

Ah, Mungkin dia masih lagi di garisan permulaan.
Atau mungkin juga dia salah seorang yang bertuah, tidak kenal apa itu ombak dan badai.

Kata orang, bila sesuatu perkahwinan mencecah tahun kelima hingga tahun ke 10, itulah saatnya yang paling getir: dugaan akan datang bertimpa timpa. Jika pasangan tersebut mampu menangkis segala onak duri dan bertahan sehingga berjaya melepasi garisan tersebut, insyaalah, ianya akan kekal.

Tapi.. semua ni bukan bergantung pada tahun dan angka semata kan..
Ianya bergantung juga pada apa usaha yang dilakukan sepanjang mereka hidup bersama untuk memastikan hubungan bertambah rapat dan hati terus bersatu..
Tanpa asas yang kukuh dan kesabaran yang kuat, rasanya sukar untuk bertahan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dua individu dengan perangai dan latar belakang yang berbeza.
Tak ada sebarang manual atau sebarang petua yang boleh jamin perkahwinan itu akan kekal. Ada juga yang mengundurkan diri kerana tidak mahu terus melukakan hati pasangannya. Ada pula yang terasa hati lalu membawa diri.
Semua orang ada cerita dan pengalaman masing masing. Mmm biarlah dia terus bercerita. Biarlah dia lalui semuanya dengan pengalamannya sendiri. Siapa tahu kisah cintanya benar benar akan berakhir dengan 'they live happily ever after'.

No comments:

Post a Comment