Sunday 12 June 2011

Sepi Datang Lagi


Sekilas memandang dirinya yang sedang memandu. Matanya masih memandang ke hadapan, tertumpu pada trafik. Serius, tanpa segaris senyuman di bibir. Entah apa yang sedang dia fikirkan.

Saya terus memandang dia. Betapa masa telah merubah dirinya: uban jelas kelihatan bersulam di rambutnya yang dulu kesemuanya hitam pekat. Dia yang dulu amat kurus, kini kelihatan jelas berisi, dengan lapisan dibawah dagu dan saiz bajunya yang bertambah dari setahun ke setahun. Namun, bukan itu yang menjadi ukuran dalam menilai perasaan. Segalanya lebih kepada perubahan wataknya yang amat ketara sehingga saya tidak lagi mengenali dirinya.

Memejamkan mata dan dengan perlahan-lahan menyandarkan kepala pada bahunya. Satu minit, dua minit, tiga minit. Masih tiada reaksi. Tiada sepatah kata, walau untuk memarahi saya kerana mengganggu pemanduan dia.
Membuka mata. Nyata, tumpuannya masih di jalanraya.
Saya mengalihkan kepala dan kembali ke posisi asal. Pandangan saya lemparkan jauh keluar tingkap. Satu keluhan terlepas jua dari sangkar bibir. Tuhan, apakah ini satu kehidupan? Disayang tidak, di lepaskan juga tidak sama sekali.

Bukankah kematian itu lebih baik dari semua ini? Tangisan terkurung di penjara hati. Sampai bila?

No comments:

Post a Comment