Saturday, 1 March 2014

Hati Seorang Perempuan



Bila berbicara tentang hati, yang tersurat dan yang tersirat...
*************************
Sepertimana gadis gadis lain yang sebaya dengannya, dia juga ada impian. Terutamanya impian yang ada kaitannya tentang hidup dan masa depan. Lebih-lebih lagi bila umur semakin meningkat. Terdetik jua keinginan dihati bila melihat teman teman yang lain telah berpunya dan telah berumahtangga.

Namun apabila bercerita tentang cinta, dia membatukan diri. Padanya keikhlasan dan kesetiaan adalah tunjang utama dalam perhubungan walaupun dia tidak pasti sama ada dia mampu memiliki sesuatu yang dinamakan kebahagiaan itu. Dia tidak tahu sama ada dia mampu untuk membahagiakan hati seorang lelaki bergelar suami. Baginya, masa depan itu terlalu samar.. apakah corak hidupnya setelah bergelar isteri?

Saat berbicara tentang soal hati, dia memang selembut sutera. Tapi bila badai dan masalah melanda, dia mampu menjadi sekeras berlian, tabah menghadapinya. Cuma sesekali, hatinya juga mampu goyah..

Saturday, 22 February 2014

Sepi Dalam Riuh


Panas terik tak terasa dek meriahnya perjalanan majlis. Di satu sudut DJ rancak memutarkan lagu sambil mengusik tuan rumah dan kedua mempelai. Di sudut lain para penyaji makanan sibuk menambah lauk dan mengutip pinggan kotor yang ditinggalkan tetamu. 
Bunyi perbualan, gelak tawa saudara mara dan sahabat taulaan yang bertamu riuh memenuhi ruang khemah. Yang muda bermain mata, yang berpasangan mula memasang angan sambil mengharap akan tiba saatnya juga buat mereka. Yang tua bertukar cerita sementara suara kanak-kanak menangis menambah gempita. 
Sepasang mata memerhati sekeliling. Dalam pada bibir mengukir senyum dan kepala mengangguk pada butiran bicara tanpa makna, hati terasa kosong. Jiwa jadi sunyi. Seolah berada di alam lain. Ini sememangnya bukan dunia dia. Bukan dunia seseorang yang hatinya meronyok koyak berkecai ke perca. 
Sepi dalam riuh. Hatinya semakin rabak.

Saturday, 25 January 2014

Touch & Go


Dalam kelam malam.
dia datang bagai bayang
menghulur salam
menghadiahkan sebuah harapan
berbalut impian seindah pelangi, menyentuh hati, menggoncang jiwa.

Kata dia, dia akan selalu ada. Tak akan pergi.

Dalam kelam malam
dia pergi seakan bayang
meninggalkan airmata sesarat penuh kertas tisu
bersama sekeping hati retak seribu, berdebu.

Kata dia, dia kan hanya bayang. Tak akan pergi di waktu malam, tapi kan menghilang bila mentari datang.

Bodoh.

Thursday, 2 January 2014

Teringin


Teringin
melihat pameran bunga api dari anjung di atas bangunan flat
mendengar lagu kesukaan di corong radio dengan segelas milo di tangan
makan char kuetiau dan minum teh o di warung kaki lima seberang jalan 
berjalan di tepian pantai sambil kaki bermain air dan pasir.
Berdua.
Adakala rasa 'teringin' itu amat banyak terkumpul sehingga mampu menyesak kepala, menghimpit ruang di dada, mengalir air mata serta membunuh ceria. Bukan dipinta mutiara hitam dari dasar lautan, hanya ingini sedikit ruang masa bersama. 
Adakala rasa 'teringin' itu ibarat memetik bintang di langit. Dekat dipandang dek mata, namun jauh tak tercapai dek tangan. 
Helaian kalender terakhir jatuh gugur ke lantai. Apa yang tinggal? Apa yang teringgal? Hanya air mata yang jatuh berderai.
Bayangan.

Tuesday, 17 December 2013

Hujan

Rintik air
menitis laju
semakin deras membasahi aku.
Titisan air ini adalah hujan yang tidak pernah mengenal apa itu langit dan apa itu awan. Munculnya di dalam suram malam yang sunyi. Tercipanya dari pilu yang erat mendakap diri. Dinginnya hingga tubuh gigil membeku. Pedihnya menikam hingga ke kalbu. Tiada daya menahan sebak yang membuak.
Menepis titisan hujan. Pipi tetap basah. Di mana payung berwarna pelangi yang dia hadiahkan semalam?
Hilang dalam hujan. 


Monday, 16 December 2013

Peti

Dalam hati ini ada sebuah peti.
Apabila diri terasa sunyi, sedih menyelimuti, air jernih bergenang di tepian tubir mata, maka akan saya lemparkan sahaja semua rasa itu ke dalam peti. Ditutup rapat, dikunci ketat.
Hanya rasa ria yang bebas di luar. Sepanjang hari saya gembira, bergurau senda bersama mereka, bekerja dengan senyuman pada suara, menulis komen bertukar idea. Dan... saya jadi lupa kewujudan peti. 
Namun di hujung minda, saya tahu peti tersebut tidak pernah wujud, walau sedari mula. Ilusi.

Sunday, 15 December 2013

Cinta VI

Subhanallah. DIA yang menumbuhkan rasa cinta dalam hati manusia.
Perjalanan hidup ini bukan terletak di tangan kita untuk menentukan. Mungkin kita yang terpilih oleh Allah untuk mengharungi ujian 'Daya Tahan'. Sakit dan perit hanya kita yang merasa, begitu juga dengan rasa gembira. Pasti ada hikmah di sebalik badai dan taufan yang melanda. 
'Bila Allah tidak beri apa yang kita mahu, sebenarnya Allah ingin menunjukkan kepada kita apa yang kita perlu, lebih daripada apa yang kita mahu, kerana hanya Dia yang Maha Tahu.'