Tuesday, 29 December 2015

Hati

Berhentilah. Telah lelah sembunyikan luka, setiap langkah hanya menambah pilu. Cuba menahan sendu agar tiada siapa yang tahu. Mengertilah.

Bila bersendiri tak dapat menipu. Roh dan jasad bersatu, sepakat mengeluarkan segala kesakitan dan kedukaan melalui tangisan.

Hati, andai ingin berhenti berdenyut, berhentilah. Tidak akan dihalang lagi. Berhentilah andai sudah terlalu lelah. Berhentilah.
Berhentilah.
Berhentilah.

Saturday, 24 January 2015

Jin Dalam Botol


Kisah ini adalah kesinambungan dari kisah 'Aladdin' di dalam Hikayat Seribu Satu Malam. Kisah Jin Lampu yang setia berkhidmat untuk Tuan Aladdin. Kisah Jin Lampu yang suatu ketika telah jatuh cinta dengan seorang Gadis miskin yang tinggal di hujung kota. Gadis yang hidup sebatang kara, hidup setakat cukup makan sekadarnya. Takdir hadir, mereka bertemu, mereka mengalun melodi cinta serta mengimpi bahagia.
Kata Jin:
Mintalah apa sahaja, Gadis. Akan saya tunaikan apa sahaja permintaan Gadis selagi dalam kemampuan saya. Hati akan rasa gembira andai terlaksananya segala hajat orang yang amat saya sayangi. Saya ingin lihat Gadis tersenyum ria, tiada lagi tumpahan airmata. Mintalah, Gadis. Mintalah apa sahaja.
Gadis tersipu malu. Tiada apa yang dia ingini kecuali bahagia bersama Jin. Namun untuk tidak menghampakan Jin, dia membuat senarai permintaan. Sesuatu yang biasa mungkin bagi orang lain namun amat istimewa buat Gadis:
Saya ingin makan pizza 'Dominos' (dengan awak)*
Saya ingin makan aiskrim 'Cornetto' (dengan awak)*
Saya ingin pergi ke I-City Shah Alam (dengan awak)*
Saya ingin rasai 'candle light' dinner di sebuah restoran di hujung kota (dengan awak)*
Saya ingin sepasang baju kurung berwarna biru laut. (pilihan awak)*
Saya ingin patung beruang sebesar awak (agar saya dapat memeluknya waktu ketiadaan awak)*
*diucapkan di dalam hati.
Jin tersenyum:
Jika itu sahaja permintaan Gadis, sudah tentunya lebih dari boleh. Terlalu mudah bagi 'magis' saya. Namun saya ingin meminta Gadis bersabar buat sementara kerana janji saya pada Tuan Aladdin harus didahulukan dan diutamakan. Setelah tamat tempoh perkhidmatan saya pada Tuan Aladin dan saya dibebaskan, saya akan tunaikan segala permintaan Gadis. Boleh ye Gadis?
Gadis mengangguk, tanda bersetuju dengan rela. Gadis mula menganyam mimpi bahagia di kala tidur berbekalkan kata-kata pengikat jiwa berulam mesra oleh Jin. Cinta.
Sehari berganti seabad bertukar sedekad. Dua tahun bukan satu masa yang singkat dalam sebuah penantian yang tiada berpenghujung. Tiada janji terpateri, hanya sebak bertambah di hati.
Gadis masih menanti. Hati semakin sebak, rabak. Masih menanti permintaan yang belum pernah dipenuhi dan bahagia yang diidami. Adakah Jin di dalam botol juga sama seperti manusia di dunia realiti? Lepaskan lah Gadis pergi..

Thursday, 1 May 2014

Cinta IV


Dengan tangan berteleku memangku dagu di meja, Gadis memandang wajah Teman. Seakan ingin meratah wajah, mencari jawapan pada mata Teman.
"Pernahkah awak merasa apa itu 'Cinta'? Cinta yang sebenar-benarnya cinta, sehingga setiap kata-katanya ibarat sabda mampu menggoncangkan jiwa dan raga? Setiap diam dan marahnya umpama pisau yang menikam jantung dan mengelar hati? Pernahkah?" tanya Gadis.
Jeda. Pandangan mata Teman menjauh, merentasi benua yang tak terkejar oleh Gadis. Perlahan-lahan bibir teman mengukir segaris senyuman bersulam rahsia silam. 
"Pernah. Tentu saja pernah. Kita bukan unik. Cinta itu bukan hak peribadi individu." jawab Teman.
Bunyi kipas sahaja kedengaran. Dua manusia itu hilang dalam dunia masing-masing. Jasad dan hati menuju ke destinasi berlawanan.
Rahsia hati: sesuatu yang rumit dan... sulit.

Tuesday, 1 April 2014

Cinta Sesungguhnya



Hari ini , tidak seperti biasa, dia kembali dengan wajah berseri-seri. Lantas mulut segera menegur dia. Segera dia tertawa sambil memberitahu bahawa apa yang dicitanya telah terlaksana: cinta telah ada.
Adakah awak cintakan dia?
Jawapannya "Ya. Saya sememangnya telah jatuh cinta pada Dia."

Kalau ditanya bagaimana dan bila perasaan ini bermula, pasti susah untuk saya tentukan masanya.

Semuanya berlaku dengan kadar yang amat pantas. Satu saat kami berbual, bertanya khabar serta bertukar cerita dan tiba-tiba satu saat yang lain, perasaan itu bertukar 360 darjah menjadi cinta.

Adakala saya sendiri masih tidak percaya yang ianya telah berlaku. Segalanya bagaikan mimpi saja. Apa yang saya tahu hanya satu: saya memang amat sayangkan dia. Malah perasaan ini semakin bertambah apabila saya semakin mengenali dirinya.

 ~ sekalah airmatamu
jangan diminta jodoh turun dari langit
atau muncul dari almari bajumu
carilah sampai ketemu
walau jalannya terjah berliku
walau kerikil batu menghempapmu

doalah tanpa jemu
pasti Tuhan simpankan satu
untuk menemani syurgamu ~

~Fazleena Hishamuddin~

Sunday, 30 March 2014

Rayu


Aku merayu
pada hujan yang memecah langit
pada angin malam yang menusuk ke tulang
pada wajah kenangan silam
tolong jangan disiat-siatnya lagi hati dan jiwa ini.

Malam ini
aku ingin tenang
aku ingin terbang. 

Saturday, 29 March 2014

Rindu Bayangan I


Setiap malam
bibir mengucap salam dalam diam
mengharap angin membisikkan rindu, menyentuh kalbu
seorang dia
kerana 
diri tidak lagi mampu menyuarakan rasa.

Seorang dia telah ada yang empunya.

Friday, 28 March 2014

Istimewa


Kata dia: Adakala kita sangka kita teristimewa di mata dia. Adakala kita fikir kita insan terpilih untuk membahagiakan dia. Kita rasa semuanya akan dapat ditempuhi bersama, berdua. Biar apa buruk kata orang, biar serong semua mata di dunia memandang. Kami. Berdua.
Sehari demi sehari kita membina mimpi. Kita cuba ubah hidup kita dan cara kita demi menjadi insan yang lebih layak untuk dia. Kita senyum, kita sabar. Kita sangka dia dan kita sehaluan destinasinya. 
Kita buka mulut, kita suarakan hasrat. Lampu tiba-tiba terpadam, 'black out'. Walau rasa itu sama, rupanya impian kami berbeza. Bayang menghilang dalam gelap, pergi bersama cahaya. Mata jadi buta. Sakit menusuk-nusuk dada, terluah jadi air mata. Menjerit tiada suara, hampir gila memendam segalanya. Namun memaksa, bukan sekali-kali cara kita. Cukuplah dengan lima kali hitungan jari, merayu agar dikembalikan cahaya. Hampa.
"jiwaku tidak sekuat besi, malah bukan seteguh batu. gagah mengukir senyum berseri, tangis di hati tak siapa yang tahu". 
Sakit. Amat sakit. Apatah lagi bila bersendiri, tiada mata yang memerhati. Terhambur segala derita di hati. Esak dan tangis yang setia menemani. 
Fahamkah awak..