Saturday, 24 January 2015

Jin Dalam Botol


Kisah ini adalah kesinambungan dari kisah 'Aladdin' di dalam Hikayat Seribu Satu Malam. Kisah Jin Lampu yang setia berkhidmat untuk Tuan Aladdin. Kisah Jin Lampu yang suatu ketika telah jatuh cinta dengan seorang Gadis miskin yang tinggal di hujung kota. Gadis yang hidup sebatang kara, hidup setakat cukup makan sekadarnya. Takdir hadir, mereka bertemu, mereka mengalun melodi cinta serta mengimpi bahagia.
Kata Jin:
Mintalah apa sahaja, Gadis. Akan saya tunaikan apa sahaja permintaan Gadis selagi dalam kemampuan saya. Hati akan rasa gembira andai terlaksananya segala hajat orang yang amat saya sayangi. Saya ingin lihat Gadis tersenyum ria, tiada lagi tumpahan airmata. Mintalah, Gadis. Mintalah apa sahaja.
Gadis tersipu malu. Tiada apa yang dia ingini kecuali bahagia bersama Jin. Namun untuk tidak menghampakan Jin, dia membuat senarai permintaan. Sesuatu yang biasa mungkin bagi orang lain namun amat istimewa buat Gadis:
Saya ingin makan pizza 'Dominos' (dengan awak)*
Saya ingin makan aiskrim 'Cornetto' (dengan awak)*
Saya ingin pergi ke I-City Shah Alam (dengan awak)*
Saya ingin rasai 'candle light' dinner di sebuah restoran di hujung kota (dengan awak)*
Saya ingin sepasang baju kurung berwarna biru laut. (pilihan awak)*
Saya ingin patung beruang sebesar awak (agar saya dapat memeluknya waktu ketiadaan awak)*
*diucapkan di dalam hati.
Jin tersenyum:
Jika itu sahaja permintaan Gadis, sudah tentunya lebih dari boleh. Terlalu mudah bagi 'magis' saya. Namun saya ingin meminta Gadis bersabar buat sementara kerana janji saya pada Tuan Aladdin harus didahulukan dan diutamakan. Setelah tamat tempoh perkhidmatan saya pada Tuan Aladin dan saya dibebaskan, saya akan tunaikan segala permintaan Gadis. Boleh ye Gadis?
Gadis mengangguk, tanda bersetuju dengan rela. Gadis mula menganyam mimpi bahagia di kala tidur berbekalkan kata-kata pengikat jiwa berulam mesra oleh Jin. Cinta.
Sehari berganti seabad bertukar sedekad. Dua tahun bukan satu masa yang singkat dalam sebuah penantian yang tiada berpenghujung. Tiada janji terpateri, hanya sebak bertambah di hati.
Gadis masih menanti. Hati semakin sebak, rabak. Masih menanti permintaan yang belum pernah dipenuhi dan bahagia yang diidami. Adakah Jin di dalam botol juga sama seperti manusia di dunia realiti? Lepaskan lah Gadis pergi..

No comments:

Post a Comment