(OST Hikayat Merong Mahawangsa)
Setiap nafas yang dihembusSetiap degupan jantungAku selalu memikirkanmuDalam sedar dibuai anganDalam tidur dan khayalanAku selalu memikirkanmuTernyata ku perlukan cintaDari dirimu sayangBarulah terasa ku bernyawaKasihku…ku amat mencintai kamuKerna kau beri erti hidupKu kan terus mencintaSedetik lebih selepas selamanyaDi kala penuh ketakutan dengan badai kehidupanKu bersyukur adanya kamuBiarlah kehilangan semua yang dimiliki di duniaAsal masih adanya kamu..
Bila hati berbicara.. senandung lagunya adakala ria, adakala lara dan adakala sepi tanpa kata..
Tuesday, 30 April 2013
Sedetik Lebih
Monday, 29 April 2013
Pandanglah
Tika berbicara dengan bulan, khabarkanlah pada ia tentang keindahan sebuah kerinduan ...
***********************************
Cerita seorang lelaki:
Kata orang, dia itu jinak-jinak. Senang didekati tapi sukar untuk dimiliki. Namun saya tidak rasa yang dia sebegitu. Pada saya, dia memang seorang yang penuh emosi tapi tetap unik dengan caranya yang tersendiri.
Dia sering kelihatan bersendirian, tanpa sebarang teman yang rapat. Katanya, dia tidak mudah berkongsi rahsia hati atau kisah hidupnya dengan sebarangan orang. Namun seandainya dia percaya akan seseorang, akan dia curahkan segala cerita dan rasanya pada insan tersebut. 100% kepercayaan. Sekali perasaan sayang itu menyinggah, ianya akan kekal hingga ke akhir hayat.
Tahap kesabaran si dia itu amat tinggi selagi kepercayaannya tidak digugat. Sayangnya mampu bertahan ke akhir zaman waima ramai yang berkatanya kasihnya itu sesuatu yang sia-sia.
Tidak mudah juga bagi saya untuk bersahabat dengan dia. Dia sering lena dalam angan-angan dan dunianya. Dia pernah bercerita yang dia inginkan seorang lelaki yang boleh menerima dirinya seadanya. Seseorang yang mampu bersabar dengan kerenahnya yang ada kalanya tak menentu. Dia bencikan orang yang menegurnya dengan kasar, dengan sindiran atau dengan meninggikan suara waima sekalipun dia yang bersalah dalam sesuatu hal.
Saya sering memandang wajahnya, mendengar segala ceritanya. Saya menyimpan gelak tawanya, cuba merawat luka hatinya seraya menyapu airmatanya. Ada kalanya saya terasa ingin saja pergi jauh dan menghilang dari pandangan matanya. Kenapa? Supaya dia dapat mengerti apa itu 'rindu' dan bagaimana rasanya 'cinta' yang tak dibalas. Kerana saya mencintai dia dari dahulu lagi dan saya takut akan kehilangan dirinya andai saya suarakan rasa hati tersebut kerana pandangannya terarah kepada yang lain. Kepada seseorang yang tidak setimpal untuk dirinya.
Berpalinglah, dewi. Pandanglah ke arah insan yang sangat menyayangimu ini.
Sunday, 28 April 2013
Cermin Retak
Kata dia:Hmm ... awak rasa ayah akan perasan tak yang cermin depan kereta ni ada retak? Tadi sewaktu memandu pulang dari kerja, saya mengekori belakang sebuah lori bermuatan penuh. Saya ingat nak pandu perlahan lahan ikut 'lane kiri'. Penat terasa hari ini. Tiba-tiba sebiji batu jatuh dari lori dan menghentam sisi tepi cermin kereta ini. Macam mana ye nak buat retak ni tak nampak jelas sangat? Risau ...
(gambar hiasan aje. retak sebenar jauh lebih bawah. di sisi kiri atas wiper)
Dalam rasa kasihan, ada unsur kenakalan yang segera timbul. Bab memberi idea dalam situasi yang lain dari situasi harian, minda memang sepantas halilintar memberi idea di luar kotak. :) Idea luar kotak..? Hmm, mungkin mengarut, mungkin ada logiknya ... :p
a) Cuba letak pelekat/sticker di atas retak bahagian luar dan bahagian dalam kereta. :)b) Letak 'pemegang/stand' GPS kat tempat retak? :)c) Susun daun-daun kecil sebanyak mungkin. Longgokkan kat atas wiper hingga menutupi tempat retak.d) Cari sehelai daun besar yang cukup untuk menutupi retak tersebut dari luar. Bahagian dalam kereta, letak satu patung beruang kecil di sudut tepi. Kreatif kan? :)e) Buat retak-retak kecil lain di sekeliling tepi cermin kereta dan katakan ianya 'trend' terkini. Dan ...
Belum sempat menghabiskan ayat, tiba-tiba sebiji bantal melayang hinggap di bahu. Aduhai ... adakala idea-idea di luar kotak memang tak dihargai jika tidak kena pada masa dan ketika. Jom, saya temankan awak berjumpa ayah. Adakala cuba menyembunyikan satu kesalahan itu lebih berat bebanannya dari memikul seguni beras. Orang yang memikul beras, tidurnya lena waima keletihan. Sebaliknya, bebanan kesalahan hanya memakan diri, hilang damai di jiwa, lenyap lena yang diimpi.
Lesu.
Saturday, 27 April 2013
Sujud II
Diri masih berteleku di sejadah.
Telapak tangan ditadah. Hati cuba dibersihkan dari segala cacamarba yang melanda. Ini bukan saat untuk simpati pada diri. Ini adalah saat bilamana jiwa mendekati Sang Pencipta. Dengan segala rendah diri dan pengharapan, hati memulakan bicara:
" Ya Allah, Alhamdulillah, segala syukur di atas nikmat dan rezeki yang telah Engkau limpahkan ke atas diri ini. Ya Allah, aku bersyukur di atas anugerah pancaindera yang masih boleh berfungsi sebaiknya untuk mengerjakan kewajipan terhadapMu dan jua dalam menunaikan segala pekerjaanku."
"Ya Allah, Maha Suci yang amat mengetahui dan mengenali diri hambanya yang lemah ini. Aku bersyukur dalam keadaan diri yang sendirian ini, Engkau tidak pernah sekali-kali menjauh. Biar ada yang mengeji, biar ada yang tidak mempercayai, hati ini menjadi tenang kerana Engkau tahu kebenarannya."
"Ya Allah, aku mengharap tidak lain dan tidak bukan hanya keampunan dan keredhaan dari Mu. Ya Allah, bersihkanlah dan bukakanlah pintu hatiku ini untuk menerima hidayah Mu. Aku yakin dan percaya pada Mu, pada segala perancangan dan perjalanan yang telah Kau tuliskan untukku."
"Ya Allah, Kau teguhkanlah imanku. Selamatkanlah aku. Pulihkanlah aku dari segala kesedihan ini. Aku tiada sesiapa lagi.."
Friday, 26 April 2013
Semangat Yang Hilang 3
Maafkan saya kerana ingin menyepikan diri.
Sampai bila? Mungkin sehari. Mungkin seminggu. Mungkin buat satu jangka masa yang lama. Bukan merajuk. Saya cuma ingin mencari semangat yang hilang.
Dalam hubungan sesama insan, pasti ada hati yang terhiris bila emosi tersentuh. Itulah hati. Ia sering bermain dengan emosi dan perasaan. Ketika hilang segala kawalan, amat perlu untuk undurkan diri, menenangkan hati.
Bila hati disatukan dengan satu perasaan yang dinamakan sayang, seringkali kita lupa yang setiap kita masih lagi individu berbeza. Punya pemikiran dan kehidupan yang berlainan. Oleh kerana itulah adakalanya hati mudah rapuh bila ada waktu-waktunya kita terasa diletakkan di tepi.
Perkara paling susah ialah untuk membezakan yang mana satu perkara kecil, tak perlu dibesar besarkan. Dan yang mana pula perkara besar sepatutnya di beri perhatian. Kita tidak cuba melihat secara keseluruhan. Adakala semua warna di atas kanvas lukisan cacamarba. Keliru. Setiap kita perlukan masa untuk bermuhasabah dengan diri sendiri ada tika nya. Melapangkan fikiran yang buntu. Tanpa sebarang bicara.
Hati ini masih lagi sama. Tidak berubah. Cuma pengalaman dan masa kadang kala membuat semangat untuk mengikut kata hati semakin lemah. Dan ada masanya semangat tersebut terus menghilang. Umpama menghabiskan separuh usia dengan berlari, ada masanya terasa lelah. Hanya ingin menutup mata, mengharap satu kedamaian. Semangat ini sesungguhnya telah hilang.
Menutup pintu rasa buat seketika. Awan hitam sedang melukiskan rona gelap di dada langit..
Thursday, 25 April 2013
Samar
Adakala jalan di hadapan kelihatan samar kerana kabus tebal menghalang pandangan. Lalu hati menjadi bimbang kerana tidak tahu apa yang sedang menanti di hadapan.
Resah, pelbagai andaian bermain di minda.
Orang ramai berpusu-pusu bergerak mengikut aliran perjalanan masa. Laju. Tanpa henti. Melihat ke kiri dan kanan, semuanya ada destinasi dan tujuan.
Sedangkan saya termangu, memaksa kaki melangkah setapak demi setapak ke depan.
Meraba. Mencari.
Wednesday, 24 April 2013
Aksara
Tubuh yang lesu terasa segar kini. Air yang membasahi tubuh mengalir, mengheret pergi peluh dan kehangatan yang mengharungi diri. Dengan sebelah tangan melilit tuala ke kepala, sebelah tangan lagi pantas mencapai tetikus.
Sambil jemari menyelusuri laman muka buku, mata menari pada bait-bait puisi pelbagai tema dan rima. Minda menyelami rasa di sebalik aksara demi aksara. Mengagumi dalam diam. Mempelajari dalam perkongsian.
Lahir sebuah senyuman. Sudah lama menulis di wilayah maya ini. Masa terisi dengan pelbagai cetera: ada tawa, ada tangis, ada kawan menghulur persahabatan dan ada juga sebaliknya teman yang menjadi lawan. Setiap hari sehelai lembaran baru bermula dan sehelai lembaran lama tersimpan di laci minda.
Menekan butang 'hantar', melihat karya tersiar. Lembut terasa jiwa. Bersyukur kerana diberikan peluang untuk menulis pada hari ini. Hari esok, tiada siapa yang tahu, bukan?
Menyelitkan nota di diari kehidupan, selagi aksaranya belum lenyap.
Subscribe to:
Posts (Atom)



.jpg)


