Showing posts with label * Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label * Nostalgia. Show all posts

Wednesday, 24 April 2013

Aksara




Tubuh yang lesu terasa segar kini. Air yang membasahi tubuh mengalir, mengheret pergi peluh dan kehangatan yang mengharungi diri. Dengan sebelah tangan melilit tuala ke kepala, sebelah tangan lagi pantas mencapai tetikus.
Sambil jemari menyelusuri laman muka buku, mata menari pada bait-bait puisi pelbagai tema dan rima. Minda menyelami rasa di sebalik aksara demi aksara. Mengagumi dalam diam. Mempelajari dalam perkongsian.
Lahir sebuah senyuman. Sudah lama menulis di wilayah maya ini. Masa terisi dengan pelbagai cetera: ada tawa, ada tangis, ada kawan menghulur persahabatan dan ada juga sebaliknya teman yang menjadi lawan. Setiap hari sehelai lembaran baru bermula dan sehelai lembaran lama tersimpan di laci minda.
Menekan butang 'hantar', melihat karya tersiar. Lembut terasa jiwa. Bersyukur kerana diberikan peluang untuk menulis pada hari ini. Hari esok, tiada siapa yang tahu, bukan?
Menyelitkan nota di diari kehidupan, selagi aksaranya belum lenyap.


Friday, 6 July 2012

Permainan Dulu Dulu



Melihat budak budak bermain layang layang, saya teringat zaman budak budak dahulu. Apa saja yang orang lain main, senang jadi ikutan. Apa saja yang ada disekeliling boleh dijadikan bahan permainan. Yang penting imaginasi dan kreativiti. Apatah lagi membesar dengan dua orang abang yang sememangnya kreatif, saya lebih banyak ingat apa yang mereka berdua bermain dari permainan yang saya sendiri minati.
Selalunya, bila tiba waktu petang, saya mengikut mereka turun ke padang. Bukan sebagai pemain (tentunya) tapi dijadikan tukang menjaga kasut dan kemeja T mereka. Sebagai upah, saya disogokkan dengan gula-gula atau chickadees. 
Apa permainan mereka?
Bola sepak memang sudah tentu. Nombor 2 :main rounders. Permainannya seperti baseball atau sofball,  Perlukan satu pemukul kayu. Perbezaannya dari segi bola. Bola rounders ni ialah bola getah yang keras tapi kuat melantun (macam dalam cerita kartun, bila baling kat satu penjuru, laju dia melantun ke kiri, kanan dan merata. Kalau bola tersasar kena kepala, alamat boleh nampak bintang atas kepala. Kalau kena dengan timing dan cara pukul, bola ni boleh melantun berbatu2, malah masuk kat kebun getah pun boleh. Malang le bagi sesiapa yang ditugaskan cari bola lepas tu.
Permainan lain: main galah panjang, polis sentri, baling selipar pada tin susu yang di susun bertingkat tingkat dan main sambut tudung botol (sebiji cara dia macam bermain batu seremban. Abang tak pandang semua ni..katanya apa kelas main batu seremban. tu untuk budak perempuan aje) Waktu itu air tin hanya dijual di bandar. Di kedai kedai di taman perumahan tempat kami tinggal air gas semua djual dalam botol.
Sewaktu sambutan Hari Raya Cina,  seronok kumpul tutup botol. (dalam tutup botol tu, selalu nya ada selapis getah yg ada macam2 gambar kat dalam. Seronok mengumpul gambar gambar didalam. Abang pula akan mengetuk ceper (tudung botol) menjadi leper, dilubangkan ditengah tengah, serta dilalukan benang. Benang tersebut (dengan kedudukan ceper di tengah, di pusing pusing dan kemudian ditarik laju dan kendur. Berdesing bunyinya.

Abang Sulung memang paling pandai dalam bab kreativiti. Macam macam dibuatnya, janji ada bahan.. Macam McGyver. Dia buat layang-layang, buat capteh (bulu ayam yang diikat berbentuk seperti shuttlecock). Selain itu, dia buat lastik menggunakan kayu dan getah posmen (getah tebal warna putih). Duduk kat bandar ni susah nak dapat burung atau ayam untuk di lastik. So, sebagai ganti, dilastiknya tin (kalau tak, selalu lah adik dia yang jadi mangsa..siap kena ugut untuk buatkan dia air kalau tak mahu dilastik). Kesian kan..

Lagi satu lastik, dia buat menggunakan gelang getah. Dengan menggunakan ibu jari kaki sebagai  penahan, getah dililit, ikat dan anyam tebal (macam buat friendship band) berselang seli warna getah. Lastik ni katanya terbaik untuk tembak cicak. Saya selalu ngelat. Bila disuruh menembak cicak, saya sengaja buat supaya tak kena cicak. Bukan kesian tapi...GELI.... ee.. siapa nak kutip cicak tu kalau dia jatuh.  
Lastik getah tu, saya selalu sorok dari abang dan simpan buat koleksi.. Koleksi lagi.
Abang juga mahir dalam pertukangan tangan.. dibuatnya pistol kayu,(ukir dan potong dari papan, dilicinkan dengan kertas pasir, serupa bentuk pistol yang asli). Kemudian dia letak kan getah gelang di muncung pistol dan tarik sampai ke picu. Biji/ bunga buah jambu selalu jadi peluru. Kalau biji tak ada, di ambilnya kertas,, dibasahkan, diisi batu kecil di dalam untuk dijadikan peluru. 
Dulu dulu. kedai kedai runcit ada menjual kad kecil berukuran pemadam empat segi. Kalau tak dijual pun, ianya boleh didapati dengan bermain 'tikam' dengan pakcik penjual roti yang selalu lalu didepan rumah setiap petang. Di atas kad tersebut ada pelbagai gambar hero yang terkenal waktu tu seperti "ultraman" atau "perwira baja hitam".Kad kad kecil ini salah satu kegunaannya ialah untuk berlawan tepuk. 1 kad si adukan dengan kad pemain yang lain. Bila di tepuk, dan gambar daun kad tu terlungkup ke bawah, kita dikira kalah. Kad kecil tersebut akan bertukar tangan menjadi milik orang yang menang.
Lawan guli, lawan getah gelang, lawan adu kekuatan tangan, lawan siapa lidah dia boleh bergulung..dan macam macam lagi lawan. Dan seperti selalu, adiknya hanya memerhati. Jadi pengadil atau pemerhati. Kata abang, pengadil tu pangkat dia lagi tinggi. Yelah tu.
Tapi dia juga bagi upah. Upahnya  pengadil dapat satu kad percuma dari pemenang. :) Waktu tu, saya memang suka mengumpul benda benda comel dan  mengumpul upah. Upah tu juga sebenarnya berfungsi sebagai 'rasuah', agar si adik tidak mengadu kepada mak dan ayah apa abang abangnya buat). Kalau ada benjol kat dahi ke, atau lebam.. rahsia tetap disimpan.
Dah besar sikit, abang mula ajar saya permainan yang lebih mencabar :main catur, main dam. Dia ajar menggunakan minda, adiknya belajar meniru pergerakkan abang dan mengelat.. walau tak menang, keputusan seri dah lebih dari bagus..sebab sang abang tu juara catur kat sekolah.. :p  Dan semakin banyak juga rahsia abang yang tersimpan.. betul tak , abang?

Monday, 25 January 2010

Makan Makan


Sewaktu kecil dulu, disiplin membawa makna yang besar pada saya.

Contohnya, setiap hari jadual telah diatur : Pergi sekolah, makan, mengaji, buat kerja sekolah, kerja rumah dan tidur.
. Begitu juga dengan waktu makan. Semuanya teratur: sarapan pagi, Makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Ikut cara orang putih. Ada 2 waktu utama yang wajib untuk semua berada di meja makan: makan tengah hari dan makan malam. Siapa lambat, baik siapkan alasan yang kukuh, kalau tak mahu di soal banyak. Makan malam selalunya memang lambat, pukul 8.30 malam selalunya sebab minum petang pada pukul 5.00pm buat semua orang belum cukup lapar lagi.

Makan apa waktu minum petang? Tak kisahlah apa. Tapi air mesti air teh. Sebab majoriti kami tak boleh sentuh kopi. Bukan percaya pada kata orang tua tua yang minum kopi, nanti kulit hitam. Tapi sebab allergik kat kopi. Pening kepala kalau minum lebih dari seteguk. Mungkin sebab kopi ada lebih banyak kafein dari teh. Nanti ter over excited. Entahlah.

Balik kepada soal makanan. Makan petang selalunya kuih muih yang digoreng panas panas (atau bahasa standard dia savoury): goreng pisang, goreng keledek, nangka, jemput jemput pisang, cekodok, kuih keria dan karipap. Pasti habis punya.

Tapi kalau karipap, kena tengok juga apa inti dia. Yang paling laku, sudah tentu, karipap sardin, pedas dan rangup. Yang kurang laku : karipap inti telur dan bawang. Waktu tu saya memang anti bawang kalau di hiris kasar ada dalam makanan. Sekarang ni, dah ok sikit. Boleh makan bawang, tapi kena tumbuk atau blend sampai halus (tak nampak bentuk bawang).

Kalau makanan manis, tak ramai yang gemar. Orang Muar lagi suka makan makanan pedas. Contoh makanan minum petang manis: bubur kacang, pengat pisang, bubur pulut hitam, kuih lapis, kuih serimuka, kuih ketayap, agar agar atau kalau mak ada banyak masa, dia akan buat kuih "puteri berendam" atau kek. Minum petang memang ada berbagai pilihan kuih, semua mak yang buat sendiri. Saya paling ingat teko teh berwarna biru dan set cawan dgn warna yang sama yang mak akan gunakan setiap waktu minum petang. Walau pun hanya kami adik beradik saja yang makan bersama, cawan mesti di hidang lengkap bersama piring. Siap dengan camca teh. Macam mana ye orang dulu2 boleh uruskan begitu banyak perkara dalam satu waktu serentak : multi tasking?

----------------------------------------------------------
P/S: Hari ni tak pergi kerja. Ambil cuti sehari. Penat dan nak start buat projek baru. Waktu petang tadi, tiba tiba teringat kat mak dan waktu minum petang. Sekarang minum petang, saya simple je. Makan biskut crackers, celup air teh panas. Sedap.. :)