Aku merayu
pada hujan yang memecah langit
pada angin malam yang menusuk ke tulang
pada wajah kenangan silam
tolong jangan disiat-siatnya lagi hati dan jiwa ini.
Malam ini
aku ingin tenang
aku ingin terbang.
Bila hati berbicara.. senandung lagunya adakala ria, adakala lara dan adakala sepi tanpa kata..
Kata dia: Adakala kita sangka kita teristimewa di mata dia. Adakala kita fikir kita insan terpilih untuk membahagiakan dia. Kita rasa semuanya akan dapat ditempuhi bersama, berdua. Biar apa buruk kata orang, biar serong semua mata di dunia memandang. Kami. Berdua.
Sehari demi sehari kita membina mimpi. Kita cuba ubah hidup kita dan cara kita demi menjadi insan yang lebih layak untuk dia. Kita senyum, kita sabar. Kita sangka dia dan kita sehaluan destinasinya.
Kita buka mulut, kita suarakan hasrat. Lampu tiba-tiba terpadam, 'black out'. Walau rasa itu sama, rupanya impian kami berbeza. Bayang menghilang dalam gelap, pergi bersama cahaya. Mata jadi buta. Sakit menusuk-nusuk dada, terluah jadi air mata. Menjerit tiada suara, hampir gila memendam segalanya. Namun memaksa, bukan sekali-kali cara kita. Cukuplah dengan lima kali hitungan jari, merayu agar dikembalikan cahaya. Hampa.
"jiwaku tidak sekuat besi, malah bukan seteguh batu. gagah mengukir senyum berseri, tangis di hati tak siapa yang tahu".
Sakit. Amat sakit. Apatah lagi bila bersendiri, tiada mata yang memerhati. Terhambur segala derita di hati. Esak dan tangis yang setia menemani.
Fahamkah awak..
Andai ada yang bertanya: Awak sudah fikir masak-masak hendak berkahwin dengan dia?
Jawab Gadis: Saya sudah letih berfikir. Malah saya tidak mahu berfikir lagi kerana berfikir bukannya dapat mengurangkan rasa sedih ini. Kalau berfikir sehabis mana pun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semuanya bukan terletak di tangan kita, kan?
Saya ingin mengahwini dia dan berserah pada keadaan serta doakan segalanya baik-baik belaka dengan izin Tuhan.
Andai dia juga sanggup...
Cinta itu seperti angin.
Kita tidak pernah melihat angin kerana angin tidak pernah ada warna. Namun apabila angin menghembus, kita dapat rasa ianya sejuk dan mendamaikan. Dan kita tahu itu adalah sentuhan angin.
Cinta itu seperti udara.
Tak terperasan, tidak difikirkan. Namun ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Seksa hingga menghilang nyawa andai ia hilang.
Cinta itu tak dapat dilihat.
Namun terbias pas senyuman yang diberikan, terlihat pada pantulan dari pandangan yang memancarkan kegembiraan.