Saturday, 31 August 2013

Pemergian


Tubuhnya terbujur kaku di atas katil. 
Nafas terhenti, urat nadi tidak lagi berfungsi.
Suasana sekeliling amat sunyi; Sepi. 
Dunia bukan lagi tempat yang layak untuk dia diami.

Telah tiba tikanya roh melangkah pergi
ke hadrat Illahi.

~Al-Fatihah. Doa dari kami di sini. Moga tenang bersemadi.~

Friday, 30 August 2013

Kompas I


Kata dia: Bukankah jalan ini yang awak telah pilih? Lantas apa perlu awak menangis, merintih? Kuatkan hati untuk harungi segala yang perlu dihadapi. Bukankah jalan ini yang awak telah pilih?
Pedih. Perit. Sakit. 
Kata-katanyanya mungkin bermaksud baik, ingin mencabar naik semangat. Memotivasi dengan caranya yang tersendiri. Namun sedarkah dia bahawa kata-katanya tetap berbisa, luluh segala rasa. Tertampar wajah berkali-kali. Pedih hingga ke hulu hati. Perit hingga ingin menjerit. Sakit.
Mengapa? Kerana bicara itu datang dari seorang sahabat, insan paling dekat, teman yang teramat rapat. 
Pedih. Perit. Sakit.

Thursday, 29 August 2013

Buang Jauh Jauh


Gadis duduk sendirian melayan perasaan. Diam, tenggelam dalam dunia suram. Cacamarba. Semakin difikir, semakin semak minda. Satu demi satu fikiran negatif berombak silih ganti menerjah fikiran. Berdenyut-denyut kepala. Awan hitam tidak berganjak dari menghurungi Gadis. Auranya gelap, pekat. Likat.
Tiba-tiba ada suara berdehem di sisi Gadis. Segera Gadis menoleh, tersentak ditarik balik ke dunia realiti. Rasa hairan melihat Jejaka berdiri tegak di situ dengan sebuah beg pakaian di tangan. Aneh, zip beg tersebut terbuka luas, tampak kosong isinya. Gadis mengangkat kening sebelah, menanya dengan isyarat. 
Jejaka mendekat. Tangannya pantas mengambil ragut segala awan hitam di atas kepala gadis. Dilempar, sumbat padat-padat ke dalam beg. Ditarik zip rapat-rapat, cepat-cepat.
Beg digalas di bahu sambil berkata, 'Biar semua masalah Gadis duduk dalam beg ini buat sementara. Tolak segalanya ke tepi, ikut Jejaka. Kita makan, minum, berbual tawa seperti biasa. Bila perut sudah terisi, minda telah lapang, kita buka zip beg dan teliti masalah Gadis satu-persatu. Bukankah dua kepala lebih baik dari satu? Jejaka kan ada. Mari, Gadis.' 
Satu huluran tangan disua pada Gadis. Menanti dengan sabar. Gadis tersenyum, manis. Cerah rona wajah. Tangan kanan Gadis menyambut, genggam huluran tangan Jejaka. Adakala onak duri kurang sakit luka olehnya, apabila ada seseorang di samping yang menemani perjalanan dengan beg berisi kotak pertolangan cemas. Betul bukan? 
Tidak, Gadis tidak sendiri. Perjalanan tidak lagi sepi.

Wednesday, 28 August 2013

Salah

Saat pegangan agama ampuh
masyarakat pantas menuding tuduh perempuan itu lacur, 
rendah maruah, bertuhankan rasa, berpaksikan nafsu
tapi
bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi
lelaki juga bukan maksum, terlepas dari hukum.

Betul, bukan?

Tuesday, 27 August 2013

Serabut

Mungkin benar apa yang mereka kata.
Dalam sepanjang sejarah perjalanan hidup, akan ada ketikanya hadir seseorang yang mampu menggetarkan jiwa, menggoncangkan rasa lantas menetap di hati selamanya. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Waima berapa ramai yang jauh lebih baik datang bertandang,
melayan kamu ibarat dewa dewi,
mencintai kamu dengan sepenuh hati,
namun 
ingatan pada dia tidak mungkin dapat dipadam. 

Hanya terpendam,  terpenjara di minda paling dalam. Petik sahaja jari, ingatan tersebut datang berlari, terlepas dari segala gari, datang memeluk menyelimuti diri. Tidak mahu berganjak, tidak rela dianjak. Tidak mampu dilupa walau takdir tidak mengizinkan untuk bersama.
Mungkin benar apa yang mereka kata.

Monday, 26 August 2013

Rumah Kaca


Rumah itu dibuat sepenuhnya dari kaca. Bukan hanya dinding, siling, pintu dan atapnya kaca, malah segala perabut, perkakas, pinggan dan mangkuk di dalamnya juga diperbuat dari kaca.
Cantik. Ramai yang terpesona dan memuji-muji akan ketelitian dan keunikan rumah tersebut. Ramai juga yang cemburu, ingin cuba membeli ianya dari tuan empunya. Ada juga yang ingin mengupah sang arkitek untuk membina sebuah lagi replika rumah tersebut untuk mereka. Hakcipta terpelihara, pelannya hanya satu dalam seluruh dunia. Ujar pemilik.
Gadis melepaskan pandangan ke luar. Andai sahaja mereka merasa apa yang dia rasakan. Penghuni rumah agam kaca. Gah diperkata, segala perbuatan serta aksi jadi berita utama. Tontonan percuma umum. Tiada yang sulit atau peribadi. Tiada privasi.
Di sini tidak boleh berlari, tidak boleh usik-mengusik menghibur diri, apatah lagi berbuat sesuka hati. Segalanya kaca. Rapuh. Apa yang kurang mungkin adalah papan tanda 'Nice to see, nice to hold. Once broken, considered sold'. 
Sesekali angin sejuk menyapa, membawa sepi bersama. Mereka memeluk perlahan-lahan Gadis dari belakang. Erat, merangkul, membelai sehingga meremang segala roma. Dingin menyelaputi segenap pelusuk rongga. Mereka berbisik, 'Mengalah lah, Gadis. Menyerah lah.'
Sebuah tawa panjang memecah kesunyian. Bukan ketawa riang. Ketawa bersyairkan tangisan, sedu sedan di penghujung asa seorang insan. Gadis.

Sunday, 25 August 2013

Cinta Akhirnya


Gadis memandang wajah Jejaka dengan sepasang mata bercahaya, selari dengan senyuman yang tertera manis di bibir. Terasa bahagia bila Jejaka ada di sisi.

Suatu ketika dulu Gadis hanya mengenali Jejaka pada nama sahaja, tidak lebih dari itu. Malahan andai Gadis dan Jejaka berselisih jalan sewaktu menuju ke kelas, mereka langsung tidak pernah bertegur sapa. Gadis menunduk malu, Jejaka hanya menjeling sekali lalu. Dunia mereka berbeza. Gadis sibuk berpersatuan, Jejaka penuhi masanya dengan aktiviti sukan. Kawan dan aliran matapelajaran juga tidak ada yang sama. 
Aneh, bukan? Adakala hidup ini seperti satu putaran roda. Setelah bertahun terpisah mengejar cita-cita, mereka tenggelam dalam kesibukan dan seribu satu dugaan hidup yang penuh cabaran. Wajah dan nama tertimbus dalam ingatan paling belakang. Seketika, ruang masa terbuka dan mereka ketemu kembali di hujung usia.

Pertemuan sekali ini seakan membuka peluang kedua untuk mereka mengenali diri sendiri dan masing-masing. Mereka yang tidak pernah berbicara di alam sekolah, tiba-tiba bertukar cerita seolah rakan lama. Tiada detik kekok. Segalanya elok. Tidak pasti bagaimana dan bila ianya terjadi. Namun yang pastinya benang hati mereka seakan telah disimpul mati, terpateri.

Malam itu, secoret bicara membibitkan rona-rona merah di pipi. Jejaka mengungkap rahsia hati. Tidak mahu menyimpan lagi, takut andai masa sekali lagi akan mencemburui. Tembok telah runtuh. Bibir Gadis menyambut bicara sebelum minda mampu menahan. Maka terlepas jua satu pengakuan: 'Saya juga cintakan awak.'

Perlahan bisikannya, tapi cukup untuk mengejutkan Gadis sendiri. Termangu dia seketika. Apakah benar diri ini telah jatuh cinta? Mungkinkah? Ah! Tidak logik jika dilihat dari sudut usia dan situasi semasa. Gila.

Gadis, mungkin telah tiba masanya untuk berhenti berfikir. Mungkin telah tiba masanya untuk membenarkan rasa cinta itu menyentuh segenap jiwa. Mungkin juga telah tiba masanya untuk menikmati apa yang ada selagi diberi kesempatan. Mungkin hati kan jadi lebih tenang bila tidak terlalu dilawan. Namun bagaimanakah akhiran nanti kisah cinta ini? Keliru.
Kata hati yang memujuk:
Jangan difikirkan tentang penghujung cerita. Tidak akan wujud lagi peluang ketiga. Siapa yang dapat meneka apa yang akan berlaku di masa depan. Berilah peluang pada diri merasa kembali erti bahagia. Tidakkah Gadis juga berhak untuk merasakannya juga seperti orang lain?
Cinta.