Saturday, 30 June 2012

Cinta Dan Pengertian


Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'Cinta'?

Apabila kita mencintai seseorang, kita rasa seperti ingin sangat memilikinya. Kita juga rasa yang kita amat perlukan dia, ingin dia ada disamping kita selalu. Kita mahu cinta kita itu berbalas.

Cinta..
Membuat diri jadi tak menentu
terkadang ketawa, terkadang menangis
adakala bermuram, termenung, walau tidak diganggu.
Tersenyum riang, walau tiada teman di sisi.
Terkadang menangis tanpa bersebab.
Merajuk tanpa punca..
Benci bercampur rindu..
Marah tapi sayang
resah gelisah..walau tiada masalah
berfikir tanpa penghujung
seakan hilang fikiran
Gila. 

Dalam kita bermain dengan perasaan sendiri, kita terlupa sesuatu yang penting : Perasaan si dia.
Bila kita mencintai seseorang, belum tentu dia juga mencintai kita. Mungkin juga kita cintakan dia, tapi dia cuma setakat suka atau sayang sahaja pada kita.

Lalu, kita cuma boleh berusaha.. lakukan yang terbaik. Mudah mudahan, dengan izin Tuhan, hatinya juga akan terbuka untuk mencintai kita.
Tapi, jika telah berusaha, dan si dia masih tidak mempunyai sebarang rasa cinta pada kita, maka lepaskanlah dia pergi. Jangan musuhi atau berdendam dengan dia. Atau menggunakan cara kasar/paksaan untuk memiliki dirinya..

Wednesday, 20 June 2012

Bermulanya Cinta





Jendela kamar dibuka luas.
Sang mentari tersedia menyambut dengan riang, burung burung berkicauan dan langit cerah kebiruan, melakar indah lukisan alam ciptaan Tuhan. 

Hari ini sebenarnya sama seperti hari hari lain. Matahari yang sama, nyanyian burung yang sama, udara segar yang sama, bunyi hon motosikal penjual sayur yang lalu dihadapan rumah juga adalah senario yang sama seperti selalu. 

Tapi... mengapa terasa seolah ada sesuatu yang berbeza pagi ini. 
Sinaran mentari kelihatan lebih cerah dari biasa. Kicauan burung juga kedengaran lebih merdu, hingga hati turut ingin berlagu riang. Malah udara pagi juga terasa lebih segar. 

Senyuman yang selalunya agak lewat untuk menampakkan diri (perlu secawan teh panas sebagai penggesa), tiba tiba begitu murah dihadiahkan buat semua yang lalu dihadapan jendelanya. Dia tertanya tanya pada diri apa yang lainnya hari ini ye?

Angin menyapa lembut, seakan mengelus wajah dan menyelak helaian rambut yang mengganggu pemandangannya. Pipi serta merta terasa hangat dan wajah merona merah. 

Satu nama.. satu nama itu tiba tiba terlintas di minda. Dia tersentak. Mengapa...kenapa... nama itu yang muncul? Tangan didakapkan ke dada, terasa ada getaran yang kuat. Terasa jantung juga bergerak pantas. mungkin lebih pantas dari keretapi Maglev di Jepun. 

Apakah perasaan ini? Tuhan, ada apa dengan dia? Mungkin...mungkinkah ini yang dinamakan 'Cinta'?

Tuesday, 1 May 2012

Apa Ada Pada Nama

Semalam

Dia : Apa ada pada nama? Panggil aje aku apa yang kau mahu. Aku tak kisah. Aku tak peduli. Selama ini pun tak ada sesiapa yang yang panggil aku dengan nama aku. Aku insan yang telah hilang identiti. Seorang manusia yang tak bernama...

Aku: Tapi.. tentu nya engkau ingat yang engkau mempunyai nama suatu ketika dulu. Nama yang sangat indah. Bukankah nama juga yang membezakan antara seorang insan dengan yang lain.

Dia : Apa yang kau tahu tentang aku. Selama 10 tahun aku di seberang, aku telah banyak belajar tentang manusia. Sewaktu aku berpangkat dan berharta, aku dipanggil Tuan, Encik.. Tapi.. bila sekarang aku di bawah, aku di panggil bxxxxxt, di panggil bodoh, anjing.. ah.. dan macam macam lagi nama yang menjelikkan. Itukah keindahan nama yang kau katakan?

Aku: Tidak. jangan berkata demikian. Aku tahu kau marah. Aku tahu kau sengsara. Berbulan bulan aku mencari kau hinggalah aku tiba ke bandar ini. Kalau tak kerana tuan punya kedai di selekoh sana yang membawa aku ke sini, pasti kita tak akan bertemu. Marilah kembali ke daerah kita.. kampung kita..

Dia: 'Dia" yang kau panggil itu sudah mati. Aku ini hanya insan yang tak ada nama dan tak ada sejarah. Disini tiada gelaran. Aku juga tak perlukan nama. Di sini aku tenteram. Tiada siapa peduli aku siapa sebelum ini. Mereka panggil aku "Mat", aku jawab. Panggil aku "Boy", pun aku jawab. Kalau panggil aku "Siva", pun aku akan jawab. Sekurang kurang nya mereka di sini tidak bermuka muka.

Yang penting, aku bekerja. Kais pagi, makan pagi. Dan aku gembira dgn hidup aku sekarang. Kalau kau nak, kau pun boleh panggil aku begitu. Atau kau pilihlah apa saja nama yang berkenan di hati. Kau juga boleh panggil aku "hoi" kalau kau mahu.
Aku: Berhenti.. Kau yang dulu bukannya begini. Kau adalah kau yang paling lantang menegakkan nama kau. Nama adalah maruah. Bukan ke itu yang kau katakan pada aku dulu. Dan aku dengar banyak yang telah engkau lakukan untuk penduduk di sini. Kau bukan jahat..
Apa ada pada nama...  Aku memang boleh memanggil kau dengan apa jua nama kalau itu yang kau mahu. Aku boleh panggil kau "hoi"seperti kau cadangkan... tapi aku tak mahu..

Apa ada pada nama? Aku tahu kau kecewa. Kerana mengejar "nama" dan pangkat, nama kau telah di buruk buruk kan oleh rakan baik kau sendiri. Dan kau telah di tuduh tidak menjalankan tugasmu. Rakan yang engkau anggap saudara. Menikam dari belakang. Kenapa? Kerana sekadar mendapatkan "nama"..

Apa ada pada nama? Aku tahu kau telah bosan mendengar nama nama mereka itu yang gah menepuk dada, bangga bergelar Datuk.. leka dengan gelaran yang berjela jela panjangnya. Nama sebenarnya bukan untuk riak. Bukan untuk Takbur. Bukan untuk menunjuk nunjuk..

Apa ada pada nama? Di sebalik nama ada rahsia dan misteri tersendiri yang juga akan memperlihatkan peribadi seseorang. Itu lah juga sebabnya Islam menekankan kepada ibu bapa untuk memilih nama yang membawa makna yang baik kepada anak anak. Kerana nama itu adalah satu doa untuk pemiliknya. Bukan nya dengan memilih nama semata mata kerana bunyi sebutan yang indah di telinga tapi tiada makna. Atau kemaruk dengan glamour nama nama artis yang popular: belum tentu nama itu bukan sekadar nama samarannya. Baik satu nama itu, baiklah doa untuk pemilik nya.

Apa ada pada nama? Ingatlah. pada hari kebangkitan nanti, kita masing masing akan di panggil dengan nama masing masing untuk perkiraan dosa dan pahala sebelum ditentukan masuk ke syurga atau neraka.

Apa ada pada nama? Masihkah kau ingin bertanya?.. Kalau kau ingin tahu..aku, perempuan yang berdiri di hadapan kau ketika ini sebenarnya telah lama menyimpan perasaan terhadap kau. Kau yang mempunyai nama seindah nama Nabi, dan peribadi yang tetap teguh walau dilanda musibah. Masyarakat mungkin mengelar engkau dengan nama lain, dan walau pun beribu insan ada nama yang sama seperti nama kau .. pada aku, Muhammad, hanya ada satu, iaitu kau.

Thursday, 12 April 2012

Hati Seorang Isteri



Yang ada hanya satu pertalian takdir yang sukar difahami.. Arusnya membawa kami ke sini.. ke satu titik penentuan: kesinambungan..atau..perpisahan..
*********************************************

Kami bertemu di Kopitiam X seperti yang telah dijanjikan. Hari ini harijadinya dan dengan senyuman di bibir saya berikan hadiah yang di bawa sambil mengusiknya seperti selalu. Tapi.. reaksinya tak seperti yang dijangka. Ada sesuatu yang mengusik hatinya.

Dengan senyuman segaris lurus, dia memulakan cerita.

Kata dia : Awak tahu..saya rasa terkilan. Semua rakan dan teman sepejabat ingat yang hari ini harijadi saya. Tapi.. orang yang paling dekat dengan saya langsung tidak ingat.

Suami saya waktu mula mula kami berkahwin dulu, dia selalu membelikan sebiji kek cokelat yang comel untuk harijadi saya. Pada tahun kedua dan ketiga, dia masih ingat tarikh lahir saya..tapi dia boleh bertanya apa yang saya inginkan..atau mahukah diberinya saya duit untuk membeli sesuatu yang saya hajatkan. Cara dia yang begitu buat saya rasa yang dia seolah tiada masa untuk memikirkan tentang saya.

Lalu, logik bukan sebagai balasan saya katakan yang saya tidak mahu apa apa. Tapi..tak saya sangka.. dia terima jawapan saya itu dan terus berbuat seperti biasa saja. Geramnya saya.
Semua orang tahu bukan yang orang perempuan ni walaupun bibir mengatakan 'tak ada apa apa' sebenarnya dalam hatinya pasti ada sesuatu.

Kata dia lagi: Bila saya fikir fikirkan semula, saya jadi takut pada tahun tahun yang akan datang. Macam mana kalau tahun depan dia terus lupakan saja hari jadi saya? Langsung tak tanya apa yang saya inginkan? Bagaimana jika ini tandanya dia dah tak lagi sayangkan saya? Sedangkan, awak tahu..bila tiba hari lahir dia, saya sentiasa tak lupa untuk sediakan sesuatu yang istimewa untuk dia.
          *********************************
 Apa yang boleh saya katakan..kecuali memujuk dia untuk bersabar.

Alangkah susah jadi seorang perempuan kerana dalam diri 90 peratus di pengaruhi emosi. Sukar juga menjadi lelaki kerana tidak berupaya meneka apa yang tersirat dalam hati seorang wanita. Hmm..
Sama ada dia berterus terang, bercerita tentang hatinya yang terkilan pada sang suami.. atau mengubah dirinya untuk menerima situasi tersebut... Jika dalam 365 hari, sang suami begitu perihatin pada segala keperluan dirinya, perlukah 1 hari tersebut membuat hati terguris..?
         Hmm.. adakala lebih mudah memujuk diri sendiri dari cuba mengubah orang lain untuk mengikut cara
        kita..

Friday, 6 April 2012

Hati Yang Terluka

Hati.. segalanya bermula dengan hati. 
*********** 

Sesekali menghilang, menjauh dan menyembunyikan diri dari persekitaran yang menekan perasaan. Mencari kembali diri yang hilang. Siapa yang berdiri di hadapan cermin.. Mana menghilang satu wajah yang sering tersenyum manis..dan berganti dengan wajah sayu berbalut seribu duka. 

Sendiri.. berbicara dengan hati. 
Soal dan jawab bertali arus hingga lesu menggamit, terlena. 
Ribuan kali berfikir, tak mungkin dapat menyelesaikan sebarang kekusutan, bukan.. Menarik nafas dalam dalam.. dan melepaskannya perlahan lahan. 

Adakala diri terlupa keupayaan manusia ada hadnya. Menarik borang dari dalam beg, dan jemari mula menulis mengisi satu persatu butiran yang diperlukan. Sehelai kertas lagi mula terisi dengan perancangan yang akan dilakukan..satu persatu. One day at a time.. Terima kasih, Tuhan, atas ketenangan ini.. 

Ku hilang dalam ramai 
Di kala hujan renyai 
Tangis ku tahankan berderai 
Ku hilang dalam ramai 
Tanganku hulur longlai 
Hasratku simpan tak tercapai 
Ku berpaut bayang sendiri 
Segala hilai ketawa 
Tak terdengar jelas, tak sempat terakam 
Deru tangisan 
Rintihan panjang 
Entah dari manakah...
datangnya bagai gelombang 
Menghukum aku... tanpa kasihan..

Wednesday, 4 April 2012

Diari Hati



Ada masa masanya kesedihan memenuhi segenap ruang,  terlalu berat untuk diketepikan.

Hati bagaikan awan yang sarat membendung air.. tak terlarat untuk menakung walau sekecil zarah lagi. Mulut menjadi berat untuk bercerita..pabila pandangan mereka telah cukup untuk memperlihatkan kebencian.

Mengigit bibir, menahan air yang bertakung di kelopak mata dari terus mengalir keluar.
Seteguh mana hati seorang perempuan, sekeras mana ianya, ada masa masa tertentu hati menjadi terlalu rapuh.
Kerana dalam diri.. perasaan malu itu masih wujud. Lantas bagaimana hendak menerangkan secara nyata segala kesedihan dan rahsia yang tersirat...

Yang pahit ditelan jua walaupun perit terasa.. biarkan lah..

Friday, 30 March 2012

Bangkit Semula


Selama jantung masih berdetak,
Selagi itu
Aku takkan berhenti berlari
Terus berlari..

Walau terjatuh..
Bangkit aku kembali..
Susah dan payah aku tak peduli..
Kerna ku syukuri hari ini,
Aku masih bisa berdiri...

Aku tinggalkan masa kelabu
Lalu mulakan semula perjalanan
Kerna-Mu
****************************************
Kata dia:
Awak tahu kenapa awak hilang semangat untuk meneruskan hidup awak? Awak tahu kenapa awak macam ni? Kenapa tak mampu lagi untuk tersenyum?
Silapnya kerana awak berikan seluruh hati awak pada dia. Cinta yang awak berikan pada dia 100%..tak ada tersimpan sikit pun. Dan bila dia berubah hati, awak sekarang terasa seperti hilang punca. Hilang semua kekuatan awak.

Silapnya juga kerana..awak sayangkan dia lebih dari awak sayangkan Tuhan. Awak lupa yang dia hanya manusia biasa..yang Tuhan ciptakan. Bagaimana boleh cinta kita pada manusia mengatasi cinta kita pada Pencipta? Awak tahukan..tanpa Pencipta, tiada lah dia.

Adakala bila cinta itu membuat awak lupa pada Tuhan, Tuhan adakan ujian serta dugaan untuk menyedarkan awak bahawa cinta yang kekal hanya cinta kepada Allah. Tidak salah merasai cinta sesama insan selagi ianya tidak menjauhkan awak dari Tuhan.

Setiap kali perasaan sayang muncul terhadap dia, setiap kali itulah hati harus melafazkan syukur pada Tuhan yang telah menjadikan dia untuk awak. Bila hati rapat dengan Tuhan, barulah ianya akan kuat dan tenang menghadapi apa jua badai yang melanda. Itulah kekuatan iman dan sebenarnya erti pasrah.

Kembalilah mendekatkan diri pada Tuhan kerana dengan itu saja hati akan tenang. Hal yang lain semua akan terasa ringan. Percayalah...dan bangkitlah kembali. Awak tidak sebenarnya tidak sendirian.. Allah sentiasa ada bersama awak. Mintalah ketenangan dari Nya..