Tuesday, 1 April 2014

Cinta Sesungguhnya



Hari ini , tidak seperti biasa, dia kembali dengan wajah berseri-seri. Lantas mulut segera menegur dia. Segera dia tertawa sambil memberitahu bahawa apa yang dicitanya telah terlaksana: cinta telah ada.
Adakah awak cintakan dia?
Jawapannya "Ya. Saya sememangnya telah jatuh cinta pada Dia."

Kalau ditanya bagaimana dan bila perasaan ini bermula, pasti susah untuk saya tentukan masanya.

Semuanya berlaku dengan kadar yang amat pantas. Satu saat kami berbual, bertanya khabar serta bertukar cerita dan tiba-tiba satu saat yang lain, perasaan itu bertukar 360 darjah menjadi cinta.

Adakala saya sendiri masih tidak percaya yang ianya telah berlaku. Segalanya bagaikan mimpi saja. Apa yang saya tahu hanya satu: saya memang amat sayangkan dia. Malah perasaan ini semakin bertambah apabila saya semakin mengenali dirinya.

 ~ sekalah airmatamu
jangan diminta jodoh turun dari langit
atau muncul dari almari bajumu
carilah sampai ketemu
walau jalannya terjah berliku
walau kerikil batu menghempapmu

doalah tanpa jemu
pasti Tuhan simpankan satu
untuk menemani syurgamu ~

~Fazleena Hishamuddin~

Sunday, 30 March 2014

Rayu


Aku merayu
pada hujan yang memecah langit
pada angin malam yang menusuk ke tulang
pada wajah kenangan silam
tolong jangan disiat-siatnya lagi hati dan jiwa ini.

Malam ini
aku ingin tenang
aku ingin terbang. 

Saturday, 29 March 2014

Rindu Bayangan I


Setiap malam
bibir mengucap salam dalam diam
mengharap angin membisikkan rindu, menyentuh kalbu
seorang dia
kerana 
diri tidak lagi mampu menyuarakan rasa.

Seorang dia telah ada yang empunya.

Friday, 28 March 2014

Istimewa


Kata dia: Adakala kita sangka kita teristimewa di mata dia. Adakala kita fikir kita insan terpilih untuk membahagiakan dia. Kita rasa semuanya akan dapat ditempuhi bersama, berdua. Biar apa buruk kata orang, biar serong semua mata di dunia memandang. Kami. Berdua.
Sehari demi sehari kita membina mimpi. Kita cuba ubah hidup kita dan cara kita demi menjadi insan yang lebih layak untuk dia. Kita senyum, kita sabar. Kita sangka dia dan kita sehaluan destinasinya. 
Kita buka mulut, kita suarakan hasrat. Lampu tiba-tiba terpadam, 'black out'. Walau rasa itu sama, rupanya impian kami berbeza. Bayang menghilang dalam gelap, pergi bersama cahaya. Mata jadi buta. Sakit menusuk-nusuk dada, terluah jadi air mata. Menjerit tiada suara, hampir gila memendam segalanya. Namun memaksa, bukan sekali-kali cara kita. Cukuplah dengan lima kali hitungan jari, merayu agar dikembalikan cahaya. Hampa.
"jiwaku tidak sekuat besi, malah bukan seteguh batu. gagah mengukir senyum berseri, tangis di hati tak siapa yang tahu". 
Sakit. Amat sakit. Apatah lagi bila bersendiri, tiada mata yang memerhati. Terhambur segala derita di hati. Esak dan tangis yang setia menemani. 
Fahamkah awak..

Thursday, 27 March 2014

Pecah


Kata orang: Berpisah mati itu lebih sakit dari berpisah hidup. Berpisah hidup, kita masih boleh melihat dia dan mengambil tahu tentang sakit pening, susah senang dirinya walau dari kejauhan. Berpisah mati, yang tinggal hanya memori sentiasa hadir menghantui. Bukan atas pilihan, semuanya takdir Tuhan.

Sebenarnya, berpisah hidup atau mati sama sahaja andai berpisah itu berasaskan cinta. Kedua-keduanya meyeksakan, pedih menghiris hingga ke hulu hati kerana... yang disayangi tiada lagi di sisi. Biar apapun punca dan sebabnya, dia kini tiada lagi. Noktah.

Atas nama cinta, yang dinamakan 'kehilangan' itu pasti menikam jiwa, membunuh rasa. Yang mungkin mendatang, pasti tidak akan sama seperti dia yang hilang pergi. Tak terbanding kerana dia cinta sejati.
Bukan sedikit kesannya. Sakit. Amat menyakitkan.


Wednesday, 26 March 2014

Sanggup


Andai ada yang bertanya: Awak sudah fikir masak-masak hendak berkahwin dengan dia?
Jawab Gadis: Saya sudah letih berfikir. Malah saya tidak mahu berfikir lagi kerana berfikir bukannya dapat mengurangkan rasa sedih ini. Kalau berfikir sehabis mana pun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Semuanya bukan terletak di tangan kita, kan?
Saya ingin mengahwini dia dan berserah pada keadaan serta doakan segalanya baik-baik belaka dengan izin Tuhan. 
Andai dia juga sanggup...

Sunday, 23 March 2014

Cinta VI


Cinta itu seperti angin.
Kita tidak pernah melihat angin kerana angin tidak pernah ada warna. Namun apabila angin menghembus, kita dapat rasa ianya sejuk dan mendamaikan. Dan kita tahu itu adalah sentuhan angin. 
Cinta itu seperti udara.
Tak terperasan, tidak difikirkan. Namun ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Seksa hingga menghilang nyawa andai ia hilang. 
Cinta itu tak dapat dilihat.
Namun terbias pas senyuman yang diberikan, terlihat pada pantulan dari pandangan yang memancarkan kegembiraan. 

Cinta itu ada.