Wednesday, 7 August 2013

Doa Buat Hana


Kata orang, seandainya cukup empat puluh empat kali sesuatu itu disebut, ianya akan menjadi satu doa.
Ada pula yang berkata doa dari empat puluh orang mukmin, Insya-Allah akan diperkenankan-Nya.
Andai boleh 
ingin memohon 
tolong selitkan sebaris doa buat hana 
agar hana temui apa yang hana cari selama ini.

Salam Aidilfitri dari seorang hana
Maaf Zahir dan Batin.


Tuesday, 6 August 2013

Ujian Dan Dugaan

Adakala
Kita belajar dengan ujian dan dugaan
kita membesar dengan ujian dan dugaan
kita dewasa dengan ujian dan dugaan
kita matang dengan ujian dan dugaan
kita kenal erti hidup juga dengan ujian dan dugaan.

Adakala ujian dan dugaan itu bukan datang sebagai kesusahan sahaja.
Kesenangan juga satu ujian. 
Adakala kesenangan dan nikmat boleh buat kita lalai, buat kita lupa segalanya.

Live well or Live hell
You choose
Your choice

~petikan dari Hlovate: Rooftop Rant~

Monday, 5 August 2013

Tembok

Hari semalam kita nekad buat keputusan. Kita kata kita tidak mahu menangis lagi. Kita kata kita sudah penat menampal luka torehan lidah tanpa tulang. Kita kata kita benci sudah akan petualang yang sering bikin jiwa jadi walang. Kita kata kita tidak mahu hati diperkotak-katik lagi. Kita kata kita tidak mahu memberi ruang waima buat sesiapa pun mendiami hati kita lagi. Tekad.
Lantas kita mula membina sebuah tembok selebar Tembok China dan setinggi Menara Berkembar Petronas. Bermula dari sebiji batu sebeku pandangan dingin buat sesiapa yang cuba mendekati, kita tambah sebiji demi sebiji lagi batu reputasi sebagai seorang 'penyendiri'. Kita letak tembok penghadang. Kita tulis papan tanda sebesar alam 'Awas! Petapa garang! Jangan Hampiri!' Biar dikatakan 'Kera sumbang', itu jauh lebih baik dari sakit ditikam dari belakang. Tajam.
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina, bina
lagi lebar
lagi kukuh
lagi tinggi.
Siap.
Hari ini kita rasa puas dengan tembok yang telah kita buat. Kita letakkan semua alat pertukangan. Kita uji kekukuhan tembok. Kita senyum. Dan. Kita layangkan pandangan lesu ke atas. Tapi. Kenapa gelap? Mana pergi langit biru dan awan gemawan putih gebu? Kelabu.
Kita pasang telinga. Tiada satu bunyi kedengaran. Ke mana pergi deru angin yang dulunya berbisik mesra? Ke mana perginya belaian bayu yang sering mengelus lembut rambut? Ke mana pergi semua? Hitam.
Yang tinggal cuma kita. Sendiri. Dikelilingi tembok-tembok kukuh bisu tanpa pintu, tanpa jendela. Terpenjara. Pitam.
Adakala kita jadi lupa. Dinding dan tembok yang kita bina disekeliling kita untuk menghalang kesedihan, tembok itu juga berfungsi menghalang kebahagiaan dari menghampiri. Sepi.
'No pain, no gain. Happiness doesn't come without it's share of sadness'. 



Sunday, 4 August 2013

Di Sebalik Wajah


Setiap dari kita memiliki dua wajah: satu wajah yang dipertontonkan buat umum, dan satu lagi wajah yang dipamerkan hanya sewaktu sendirian atau pada mereka yang tertentu saja.

Secara amnya ada yang berwajah baik di depan, tetapi punyai hati yang busuk di belakang. Ada pula yang berwajah kaku dan beku namun hati penuh dengan sifat kemanusiaan, wujud ehsan apabila rakannya dalam kesusahan. Ada wajah berona manis hanya sewaktu perlukan bantuan tapi berubah masam kelat bila dia sendiri dirayu pertolongan.

Namun adakalanya wujud lowong dalam seribu satu saat di mana kita terpandang wajah sebenar seseorang yang tidak disorokkan di sebalik sebarang 'make up' umum. Di sebalik satu wajah yang sentiasa tersenyum, yang sentiasa tertawa, yang sentiasa tenang, rupanya ada jiwa halus yang juga merasa kesedihan, turut terluka bila dirinya dihiris dengan bilah kata-kata dan ujian kehidupan. Dia bukan insan kebal. Dia juga ada saat murung, ada saat dimana dia juga perlukan perhatian dan belaian.

Adakalanya juga, apabila wajah sebenar terlihat, dua jiwa bertemu. Saling perlu, saling mengerti, saling berkongsi rasa. Satu saat yang mampu mengubah persepsi dan perjalanan hidup. Mencintai seseorang seadanya, dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya. Mengerti had kemampuannya. Tidak sesekali mengurangkan rasa sayang kerana hati mengerti bahawa dia juga memerlukan kehadiran kita untuk melengkapi dirinya. Memerlukan seseorang yang dapat menerima wajah sebenarnya. 
Dalam dunia ini, ramai yang berlakon sempurna. Sedikit yang mampu berdiri sebagai dirinya sendiri sama ada di hadapan atau di belakang umum. Lebih mudah mengikut aliran arus.

Dua pasang mata bertemu. Dua hati terpaut. Bibir tersenyum tanpa sebarang kepura-puraan. Selangkah dia bergerak ke arah saya, selangkah saya menuju kepadanya. Di dalam dunia yang penuh dengan segala komplikasi, kami bertemu. Membina satu dunia baru. Tanpa topeng.

Saturday, 3 August 2013

Bermula Semula


Aduhai.
Antara perkara yang agak sukar dilakukan adalah untuk bermula semula. Sewaktu blog di 'cerobohi', rasa terkejut bercampur amarah dan lelah muncul di benak. Cacamarba. Setiap kali membuka blog, ianya spontan terarah ke sebuah blog lain 'ww2carwinsolutions'. Gugur jantung. Bukan sekali mencuba membuka blog, tapi berkali-kali. Hasilnya tetap sama, hanyut dihempas arus 'virus'. 
Bermula semula. Dari titik 'nol', dari titik kosong. Amat sakit. Bayangkan sahaja 544 artikel yang telah ditulis sejak bertahun lamanya, hilang dalam sekelip mata. Saya bukan penulis yang suka melakar di atas kertas terlebih dahulu. Jemari lebih deras menaip seiring idea yang menerjah. Bukan mudah untuk memulakan semula, mencari warna, melakar kanvas maya dan menyusun memori dan harapan musim lalu.
Kekuatan bukan kayu pengukur. Daya itu sebenarnya memang ada. Apa yang tiada sebaliknya ialah kerajinan. Terasa letih untuk mendaki semula dari anak tangga terbawah. Melalui semula jerih perih menulis dan menyusun aksara. Ingin sahaja berhenti menulis terus-terusan. Apatah lagi apabila ada suara yang berbisik 'Buat apa penat-penat menulis? Nanti pasti ada lagi yang akan menggodam. Membuang masa sahaja.' 
Namun perlukah mengalah? Perlukah membiarkan hasil usaha pupus dengan sebegitu mudah? Ini bukan blog mereka. Ini blog saya. Ayuh! Menyambut sebuah cabaran. Sambil cuba menyusun blog baru, mencuba berfikir di luar kotak. Melawat 'Mr Google', 'En Wikipedia' dan blog-blog lain untuk cuba mencari sekiranya masih ada cara menyelamatkan 'Hakikat Cinta'. Alhamdulillah, tidak sia-sia.
Terima kasih pada semua yang membantu. Penghargaan buat yang memberi kata-kata semangat. Alhamdulillah jutaan syukur buat Yang Maha Esa.
Bermula semula? Tidak, hanya menyambung usaha.  :)

Friday, 2 August 2013

Suratan Atau Kebetulan


Adakala
jatuh cinta itu bukan atas pilihan
namun 
 satu kebetulan.

Adakala
berterusan mencintai seseorang bukan kebetulan
namun 
atas satu usaha dan keinginan

Adakala
kehilangan rasa cinta bukan atas kebetulan
namun 
satu pilihan.


Thursday, 1 August 2013

Empati


Semua orang mahu didengari. Semua orang mahu diberikan perhatian. Apa yang dituturkan bibir mungkin amat berlainan dari apa yang terselindung di benak. Meski wajah tenang tanpa riak dan butir bicara menyenangkan, namun nada suara masih dapat membayangkan sesuatu. Hanya bagi mereka yang mengenali, bagi mereka yang benar-benar rapat dan bagi mereka yang benar-benar ingin mengambil tahu. 
Semua orang ada keinginan untuk berkongsi perasaan: suka mahupun duka. Hanya adakalanya keadaan yang menidakkan keinginan itu. Semua orang ingin berbicara, namun amat sedikit telinga yang sudi menadah dengan rela. Menunggu andai ada yang sudi memberikan satu ruang dalam waktu, berkongsi kisah. 
Empati yang diharap dan bukannya simpati ingin digarap. Bukan jua mati.
Hanya mencari erti.