Thursday, 7 March 2013

Sendiri II


Cinta itu datang tanpa sebarang syarat..
Melihat dirinya bagai melihat diri sendiri di dalam cermin. Segala watak, peribadi dan budi bicara  terserlah melalui pandangan sidia. Benar atau tidak bayangan tersebut, ianya soalan kedua.

Yang nyatanya, bila dia melihat kita sebagai seorang yang berani, rasa takut yang ada tiba tiba menghilang. Kita sebolehnya ingin menjadi seperti mana dia melihat kita.

Kata ahli falsafah:
Bila cinta itu hadir, Ia mampu mendorong

seorang penakut, menjadi berani,
seorang kedekut, menjadi dermawan
seorang biasa, menjadi kreatif,
seorang gagap, menjadi fasih berbicara
seorang lemah, menjadi kuat
seorang raja, menjadi rakyat biasa,
seorang saintis,menjadi sasterawan,
seorang peramah, menjadi pendiam,
seorang berani, semakin terserlah kehebatannya..
dan juga sebaliknya...

Ada yang bertanya kenapa saya menulis?
Ada yang mengikuti, dan ada juga yang membenci.
Ada yang memuji, dan ada juga yang mengeji. Katanya saya menulis semata mata untuk menyentuh jiwa, memainkan perasaan,  melemahkan hati mereka yang membaca, malah untuk mengkhayalkan minda.

Tulisan saya bukan dituju pada sesiapa. Hanya meluahkan rasa, berkongsi cerita sahabat, adakala untuk menjaga jiwa sendiri agar hati tidak menjadi keras dengan segala pancawarna kehidupan seharian. Realiti adakalanya terlalu berat, maka sesaat saya cuba melupakannya. Tidak ada sebesar zarah niat menyakiti hati sesiapa.

Pergilah
dan biarkan diri ini sendiri
mencipta lagu dan irama tanpa suara
bersulam cerita, mimpi dan angan
tenang bertemankan malam.
Selagi hayat masih ada..
biarkanlah saya seadanya..

Wednesday, 6 March 2013

Airmata II


Anehnya sesuatu yang dinamakan 'air mata'.
Sebelum ini, airmata pada saya melambangkan kesusahan, kesedihan, kesakitan dan kelemahan. Airmata bergenang, menitis, berderai, mengalir deras, menghujani wajah.
Bila kepercayaan musnah, bila harapan menghilang, bila hati walang, bila kedukaan memenuhi setiap rongga, bila jiwa hancur luruh, bila derita tak kunjung padam, bila diri tidak mampu lagi menahan gurisan pedihnya bilah kata-kata yang menusuk di tangkai hati, saat itulah airmata menjadi peneman.

Anehnya sesuatu yang dinamakan 'air mata'.
Hari ini, airmata dengan sendiri mengalir perlahan di pipi sewaktu mendengar luahan hatinya. Adakah kerana hati berasa sedih dan hiba? Tidak. Airmata kali ini terasa berlainan.
Bergemuruh jiwa dan raga. Lidah kelu membisu seiring dengan mengalirnya airmata.

Tiada bicara waima kosa kata yang mampu menggambarkan satu rasa ini. Aneh bukan? Airmata yang deras mengalir ini turunnya bukan kerana sedih tapi sebaliknya mengiringi satu perasaan iaitu: bahagia.
Perlahan lahan terasa tangannya menyentuh bahu. Saya menoleh, memandangnya dengan mata bersinar-sinar dengan mutiara jernih yang mula bergenangan di kelopak mata.
"Awak..", sapanya lembut. Bibir tidak menyahut, namun mewakilkan sebuah senyuman manis sebagai jawapan. 
"Awak ni sememangnya kuat menangis, bukan?' katanya berselang-selikan tawa.
           Ceh! Ingin sahaja dihadiahkan sebuah cubitan kepadanya.

ketawa dan airmata..itulah sebenarnya cinta


Tuesday, 5 March 2013

Cuma Pemerhati


Ianya bukan kisah dongeng anak anak..
Ianya tentang individu.. ianya tentang masyarakat..
Ianya tentang seorang insan yang sesat dalam perjalanan..
*******************************
Kalau kisah hidup saya ditulis menjadi sebuah novel sekalipun, saya tidak mungkin terpilih untuk jadi watak utama didalamnya. Hmm.. mana perempuan yang tidak pernah bermimpi untuk jadi seorang puteri? Lebih lebih lagi bila dirinya sendiri yang sedang bermimpi. Tapi..realitinya,tak semua yang kita mahu, mampu kita capai.

Bahkan untuk menjadi watak jahat seperti perempuan ahli sihir atau raksasa juga sebenarnya amat sukar. Saya rasa saya hanya layak diberi watak pembantu saja. Sesuai hanya untuk dipilih menjadi dayang, penjaga istana, orang lalu lalang atau kucing hitam yang bermain dikaki sang ahli sihir. Lucu bukan? Tapi itu lah yang saya rasakan.
Saya berdiri di atas pagar. Berada betul betul di tengah garisan paksi antara kebaikan dan kejahatan. Tidak menyokong mana mana satu pihak. Tapi, itu tak bermakna saya adalah lalang. Saya punyai pendapat saya sendiri, cuma tidak disuarakan kerana saya yakin tak siapa ingin mendengarnya.

Suatu hari saya telah membuat keputusan.
Andai kata saya tidak dapat jadi watak utama, bagaimana pula jika saya memilih untuk menjadi watak penglipur lara? Boleh bukan? Saya mahu jadi sang pencerita yang menulis kembali kisah pengembaraan, pengalaman dan kisah suka duka orang lain. Buku harian saya ini akan jadi seperti sebuah buku laporan.

Semakin waktu berlalu, saya semakin dewasa.
Adakalanya, saya terlupa tugas saya untuk menulis. Saya bertindak dan tidak duduk diam sebagai pemerhati.

Kenapa? Bukan untuk berlagak hero. Ianya kerana saya ada sekeping hati yang masih berfungsi. Hati yang degil. Hati yang merasa segala kesakitan dan kesedihan orang lain. Hati yang terlalu kerdil dan rapuh untuk seorang penulis cerita.

Ada ketikanya cerita mereka seakan sama dengan cerita saya.
Seperti terpandang imej sendiri di cermin. Bayangan di cermin bukannya orang lain, tapi adalah diri saya sendiri. Sakit dia adalah sakit saya juga. Sedih pilu turut mencengkam tangkai hati. Adakalanya terlalu berat rahsia dan sakit yang disimpan, hingga saya terpaksa berhenti menulis seketika. Saya perlukan rehat demi mencari kekuatan untuk meneruskan bicara hati.

Dalam meniti hidup sebagai pemerhati dari tepi, saya sendirian. Tiada siapa yang faham diri saya. Seorang perempuan dengan idea-idea nya yang aneh. Inilah saya.

Monday, 4 March 2013

Berlari Ke Langit IV


Adakalanya terasa diri hanya menyusahkan.
Setiap kata membuahkan amarah, setiap bicara disalah ertikan.
Mencuba yang terbaik, tapi hasilnya adalah sebaliknya.

Adakala hati tertanya tanya, releven kah diri ini..
Tanpa saya, dunia tetap berputar atas paksinya. Adanya saya, tidak menambah baik sebarang keadaan. Kosong..kosong..dan kosong..

Adakalanya saya ingin sekali meninggalkan bumi Malaysia ini.
Berlari dan berlari hingga ke Kutub Utara, mengembara hingga ke Alaska di mana tiada siapa kenal siapa saya, di mana tiada siapa tahu sejarah saya, dan mungkin ada yang memerlukan kehadiran saya. Tak ada yang mengganggap saya menyusahkan.
Malah mereka mungkin menerima kehadiran saya seadanya dengan segala kelebihan dan kekurangan saya. Menerima hakikat yang ada kalanya saya gembira dan adakalanya saya menangis tanpa mengharap sebuah senyuman itu sentiasa ada sepanjang waktu. Dan saya tidak mengharap akan ada sesiapa yang mengejar atau mencari saya sehingga sejauh itu.

Tuhan, dunia ini amat luas tapi akan adakah satu jawapan menanti di Kutub Utara itu? Akan terubatkah segala luka goresan kehidupan pabila kaki menyentuh bumi Alaska? Atau adakah diri akan menjadi sebeku hati, tak tersentuh lagi dengan segala kata dan bicara?

Atau ketenangan itu hanya kan wujud bila saya mampu untuk berlari ke langit-Mu?

Sunday, 3 March 2013

Berlari Ke Langit III


Malam tadi saya bermimpi lagi.
Bermimpi berlari hingga ke langit. Laju dan jauh meninggalkan helikopter serta kapal terbang Air Asia di belakang. Sekawan awan turut ketepi kerana tidak mahu menghalang laluan saya.Malah lebih laju dari 'Superman' terbang. :) :)

Dan seperti semua mimpi indah, ianya pasti akan berakhir. Sigh..sakitnya sama seperti terhempas ke bumi dari bangunan yang amat tinggi. Terasa ingin dipejamkan semula mata agar mimpi tadi akan berulang. Sia sia saja bukan. Mata beralih memandang ke kotak kasut di tepi pintu bilik. Kasut untuk berlari yang baru saja 2 minggu lepas dibeli, kini terletak elok di dalam kotak, seakan sama keadaannya sewaktu di beli.

Saya suka berlari kerana dengan berlari segala keresahan dan masalah yang menekan perasaan dapat saya lepaskan bebas pada alam. Dengan setiap derapan kasut, satu demi satu perkara yang merunsingkan kepala, seakan berbaris lurus bergerak meninggalkan ruang minda, tidak lagi berkecamuk dan berselerakan di fikiran.

Saya tahu berlari tak akan menyelesaikan masalah, tapi... ianya mengurangkan tekanan. Semakin pantas saya berlari, semakin fikiran tertumpu hanya pada larian. Hilang bunyi unggas, hilang mereka yang turut sama berlari di taman tersebut, hilang pokok pokok yang merimbun sepanjang trek jogging. Deras nafas, peluh yang mengalir laju membasahi tubuh, membuat saya rasa 'hidup' dan masih 'bernyawa'. Terisinya satu ruang kosong di jiwa. Kekosongan itu mungkin tak akan pergi selamanya, tapi keasingan diri sedikit sebanyak terasa hilang.

Mereka tidak membenarkan saya berlari lagi. Apa yang tinggal untuk dilakukan? Menelan pil pil untuk menggantikan kepenatan berlari yang selalunya membuatkan saya tidur lena hingga ke pagi. Saya tidak mahu kerana pil pil tersebut melemahkan daya ingatan dan konsentrasi.

Ini tentang diri saya bukan? Mereka hanya berikan diagnosis dan kebarangkalian yang mungkin akan berlaku. Saya percaya pada Tuhan dan saya yakin saya pasti akan temui jalan untuk merasakan sekali lagi angin yang deras begerak dari arah bertentangan dengan larian saya dan merasakan adrenalin bergerak laju. Saya pasti saya akan dapat berlari ke langit..sebelum saya menutup mata buat kali terakhir.

Think positif, just do it. :)

Saturday, 2 March 2013

Plan B


Jantung berdegup kencang.
Bunyinya sekuat pukulan gendang di Pesta Gendang Nusantara, iramanya bertalu-talu dan semakin lama semakin kuat. Aneh, mengapa ye mereka yang berada di sekelilingnya tidak dapat mendengar bunyi degupan sekuat itu.
Dibukanya genggaman tangan. Tangannya terasa amat sejuk sekali, malah lebih sejuk rasanya dari memegang ketulan ais. Telapak tangannya putih, pucat, seakan tiada darah. Kelihatan beberapa lekuk-lekuk berbentuk bulan sabit, kesan tekanan kuat kukunya. Satu keluhan terlepas dari bibir.
Dia menoleh ke kiri. Terpandang wajahnya di cermin kaca kedai. Seorang perempuan yang sederhana tinggi,  berkulit cerah, berambut panjang lurus, memakai baju kurung biru muda sedang memandangnya kembali dengan riak muka penuh kerisauan. Tiada secalit senyuman di wajah manis tersebut. Diakah perempuan itu?
Kemana kah perginya segala keyakinan diri? Bukankah dia telah berjanji pada dirinya sendiri yang dia tidak akan risau? Senario ini telah dia mainkan berbelas kali dimindanya semalaman. Setiap hari Isnin dan Rabu, lelaki itu pasti akan berada di perpustakaan ini. Betapa dia akan menunggu dengan sabar dan sebaik sahaja lelaki tersebut mengambil buku dan duduk disudut kegemarannya, dia akan menghampiri lelaki itu. Dengan wajah yang tenang berserta dengan sebuah senyuman, dia akan mengucap salam dan perkenalkan dirinya. Seterusnya...hmm.. seterusnya bergantung pada lelaki tersebut.
Tak salah bukan andai dia yang memulakannya? Bukankah di zaman teknologi serba canggih ini, tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik apabila perigi mencari timba? Bukankah juga kita disuruh berdoa dan berusaha dalam mencari jodoh? Bukankah Siti Khadijah sendiri melamar Rasulullah s.a.w?
Memang mudah meyakinkan orang lain. Tapi sukar bila masanya tiba untuk menyakinkan diri sendiri. Memupuk keberanian bukan mudah, lebih lebih lagi ciri ciri wanita Melayu masih tebal dalam dirinya. Zaman mungkin telah moden, tapi masih agak sukar untuk memulakan langkah menegur seorang lelaki yang selama ini hanya diminatinya dari jauh. Dan...apakah yang istimewa pada dirinya, yang dapat membezakan dia dari gadis gadis lain sehingga akan terbukanya hati lelaki tersebut untuk menerimanya.
Berhenti lah wahai hati dari berkata kata. Bukankah dia telah berada di sini dan dia telah bernekad untuk meneruskan niatnya ini. Dari terus tertanya tanya, biarlah dia mendapat kepastian. Lagipun, bukankah dia ada 'Plan B' dia. Bibirnya mula tersenyum dan sinar harapan berbunga semula. Dibukanya tas tangan. Sekeping sampul surat terselit rapi di belakang beg duitnya.
Apa 'Plan B' tersebut? :) Andai setelah di beri salam dan keberaniannya tiba tiba luntur, akan diserahkan sepucuk surat salam perkenalan yang telah ditulisnya malam tadi. Andai perasaan malu tiba tiba membuatkan dia hilang kata kata, sepucuk surat tersebut pasti akan mewakili lidahnya. Mungkin itu istimewanya dia: ketahui kelemahan diri dan memikirkan bagaimana atasi kekurangan tersebut. Kalau emak tahu, pasti mak akan menggeleng kepala. Anaknya ini memang banyak 'Plan B' sentiasa.
Bismillah. Saatnya telah tiba. Doakan dia berjaya ye. :)

Friday, 1 March 2013

Terima Kasih



Katakan terima kasih pada dia
yang hadir dalam hatimu
yang mencuri lelapmu
yang bermain di matamu
yang sering mengusung rindumu
mengukir tawa di bibirmu
yang pernah menangis bersamamu
yang sentiasa ada untukmu

Katakan saja terima kasih pada dia
kerana mengingatkanmu
bahawa dia insan biasa
yang seringkali lupa..
yang tidak sengaja mengundang seribu curiga
yang tidak sengaja membayangi mimpi bahagia
yang tidak sengaja berselindung di balik diri
yang tidak sengaja menghempaskan rindu itu
yang tidak sengaja mengusir senyum tawa
yang tidak sengaja mengundang gerimis derita

Katakan saja betapa kau hargai
bahagia bersama dia
walau hanya seketika