Thursday, 14 February 2013

Introspeksi II


Adakalanya, kita rasa yang kita telah cukup banyak memberi dan mengalah. Mungkin kita betul berdasarkan apa yang kita rasa. Namun ada kemungkinan kita juga ada melakukan kesalahan pada pandangan matanya. Mungkin dia juga mempunyai perasaan yang sama. Ada rajuk dan ada hati yang terguris tapi tidak dinyatakan.
Mungkin telinga tidak mendengar lagi apa yang dikata. Hanya penuh dengan pemikiran dan bisikan hati sendiri. Adakalanya kita ingin memberi penyelesaian namun sebenarnya kita hanya menambah kekusutan. 
Adakalanya kita cuba prihatin, cuba memberinya jalan keluar. Namun dia terasa yang kita menghimpit dirinya ke penjuru, menekan perasaannya. Adakalanya kita cuba membantu dengan memberi jawapan, namun hasilnya hanya menambah persoalan di ruang mindanya.
Adakalanya kita rasa yang kita telah mencuba yang terbaik yang kita mampu lakukan. Namun dia pula menafsirkan sebaliknya. Niat yang baik disangkakan ada tersorok tujuan tertentu. Semakin dicuba membetulkan keadaan, semakin kusut segalanya. Keikhlasan disangka mengambil kesempatan. Berlembut, dianggap lemah. Bertegas dianggap melawan. Berkeras, dikatakan luar kebiasaan.
Pergolakan.

Wednesday, 13 February 2013

Introspeksi I


Adakalanya bila kita telah lama bersama seseorang,  kita rasa kita mengenali orang itu dengan sepenuhnya. Semakin waktu berlalu, semakin yakin kita bahawa tidak ada apa yang dia lakukan yang kita tidak boleh teka. Kita percaya pada dirinya.
Percaya, kerana kita pasti yang kita sudah kenal akan hati budinya, kenal perwatakannya, tahu apa yang dia suka dan apa yang dibenci. Kita tahu ragamnya, tahu marahnya, tahu manjanya, tahu merajuknya.
Begitu juga sebaliknya, kita sangat yakin bahawa dia juga cukup mengenali diri kita. Sekilas riak di muka, dapat diteka isi hati. Tidak ada apa yang dilakukan boleh memeranjatkan.
Bergaduh? Sekali sekala, itu perkara biasa. Bukankah lidah juga ada tergigit. Yang luar biasanya, bila masing-masing mendiamkan diri. Tiada topik perbualan, tiada apa untuk dikongsi. Bila bersama, seorang memandang ke hadapan, dan seorang lagi berpaling memandang ke luar tingkap. Hanya radio memecah kesunyian.
Sepi.

Tuesday, 12 February 2013

Layang Layang



Layang-layang terbang melayang,
Terbang melayang di tengah padang
Ingin aku hiburkan
Hiburkan hatimu sayang..
Kalau Ikut rasa hati
Ingin aku bawa pulang

Ada orang suka hari hujan. Ada orang pula suka hari panas. Dan di tengah-tengah mereka ini ada dia: seseorang yang suka pada cuaca mendung dan berangin. Mendung tak bererti yang hujan akan turun. Gumpalan awan berkumpul seolah membentuk satu payung nipis agar terik mentari tak terasa. Gabungan cahaya dan angin kencang yang membuat diri terasa seperti arnab 'Eveready' yang boleh bermain alat muzik berhari-hari tanpa henti. Pelbagai idea muncul.
Cuaca sebegini memang sesuai sekali. Lihat formula dibawah:
Mendung + angin kencang + santai = Bermain layang-layang.
Lebih canggih dan menarik daripada formula Einstein, bukan? :) Lebih-lebih lagi sebagai seorang bekas pelajar jurusan seni, membuat layang-layang semudah memetik jari saja.Bak kata orang, pejam mata pun boleh dibuat. Keluarlah gunting, kertas, kertas warna, benang, gam, lidi, pelbagai. Mengalahkan arkitek yang sibuk melakar projek bangunan berjuta-juta. Emak semakin pening melihat telatah anaknya yang adakala masih keanak-anakan. Dan hasilnya, terciptalah layang-layang sebesar peti televisyen, siap dengan ekornya sepanjang satu meter. Satu hasil kerja yang amat membanggakan penciptanya.
Setiba di tepi pantai, kelihatan ramai yang sedang bermain layang-layang. Ada berbentuk helang, ada berbentuk sotong, ada berbentuk kelawar dan bermacam macam lagi. Timbul rasa riak dihati. Dalam berbanyak layang-layang yang ada, hampir semuanya dibeli dari gerai berdekatan. Tiada satu pun setanding dengan layang-layang istimewa ini. Syaitan semakin rancak mengipas agar rasa riak bertambah besar. Senyum hingga ke telinga bila terdengar ada yang memuji dan ramai yang memandang layang-layangnya.   
Mari kita uji. Mari kita terbangkan sang layang-layang tinggi menggapai langit. Lebih tinggi dari yang tinggi, lebih indah dari yang indah. Ahh..diri menjadi alpa walhal ianya hanya layang-layang yang terlalu kecil nilainya.
Ramai yang berhenti bermain. Ingin melihat keupayaan dan kehebatan lelayang. Uji arah angin. Uji ikatan tali pada lelayang. Kukuh. Adik memegang layang-layang, Dia tarik. Adik lepaskan pegangan. Layang-layang deras naik ke udara dan.. terus menjunam semula ke tanah. Gagal! Dia terdiam.
Cubaan kedua. Dia pula memegang layang-layang. Adik pula berlari sambil memegang tali. Layang layang naik deras ke atas dan..sekali lagi pantas menjunam ke tanah. Desas desus mula kedengaran sekeliling mereka.
Cubaan ke 3. Cubaan ke 4. Cubaan ke 5. Cubaan ke 6. Masih hasil yang sama. Penonton semakin ramai. Desas desus bertukar menjadi bunyi ketawa yang menikam tepat ke hati. Merah mukanya. Panas di wajah selari dengan panas di hati. Adik menarik narik bucu bajunya, mengajak pulang. Setiap tapak menuju kereta seperti berjalan kaki ayam di lantai penuh kaca. Sakit, perit dan malu. Mahu dihumban saja layang-layangnya ke tong sampah.
Langkahnya terhenti. Diperhati wajah adik. Dalam kesibukan mengejar pujian, dia terlupa pada adik. Sambil berjalan, mata adik terarah ke langit. Kesian adik. Membuka pintu kereta dan menolak segala ego ke tepi. Diambil dan dihulurkan layang layang plastik berharga seringgit lima puluh sen kepunyaan adik. Adik memandang kehairanan, antara percaya dan tidak. Dihulurkannya lelayang sekali lagi sambil mengangguk kepala. Adik tertawa riang, mengambil layang layang dan berlari semula ke padang.
Dia memandang langit. Menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Terima kasih Tuhan kerana adanya adik. Terima kasih juga kerana tidak membiarkan dia terus dibuai rasa.
Damai. 

Monday, 11 February 2013

Nilai Persahabatan


Waktu menguji kita..bila ada keraguan dihatimu..
******************************
Saya terdiam seketika bila membaca coretan dari seorang teman.
Katanya saya bukan sahabat yang baik seperti yang disangkakan. Malah, saya bukan lagi seorang yang patut dipanggil sahabat. Katanya lagi, sahabat sebenar tidak akan membuang sahabat yang lain setiap kali bila ditimpa masalah. Apa guna 'persahabatan' andai tidak diberikan kepercayaan untuk bersama dalam senang dan susah. Seandainya saya merasakan saya menyusahkan dia, adakah saya juga selama ini merasakan dia menyusahkan saya apabila dia berkongsi masalahnya dengan saya?

Berat terasa tuduhan tersebut. Sakit, pedih, berdarah.
Bagaimana dapat saya menerangkan agar dia faham bahawa saya sememangnya tidak mahu menyusahkan dia. Pada saya, masalah yang tiba dengan bertali arus itu sesuatu yang saya perlu selesaikan sendiri kerana ianya tiada kena mengena dengan dirinya.
Bila masalah terlalu berat untuk saya pikul, maka saya memilih untuk menyepi.Saya memilih untuk mendiamkan diri. Malah saya memilih untuk lari jauh darinya sehingga segalanya selesai.  Egokah saya kerana ingin selesaikan segalanya sendiri? Tidak. Saya hanya seorang yang bertindak mengikut emosi dan bukan rasional fikiran. Betul kata orang, ikutkan rasa, binasa. Ikutkan hati, kelak akan mati.
Andai saya dapat berbicara dengannya, akan saya khabarkan padanya bahawa saya hanya ingin memulihkan semangat yang hilang. Bukan membuang rakan. Saya mencuba setiap pintu yang ada di ruang sempit ini. Siapa tahu salah satu pintu akhirnya mungkin akan terbuka.
Selamat tinggal
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruan ku
Jasa mu untuk diri ku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu dimana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik dirimu sendiri.

Sunday, 10 February 2013

Rasa II


Andai hati mula berbicara
mencari-cari, mengingati, merindui
itulah tanda berputiknya sebuah rasa.

Cinta.

Saturday, 9 February 2013

Kura-kura


Kasihan, tersedak si kura-kura.
Asalkan sahaja lambat, pasti namanya disebut.
Namun, jangan dilupa. Waima sekalipun dia lambat, kura-kura muncul juara dalam pertandingan lumba lari dengan arnab. Bak kata pepatah, biar lambat asalkan selamat. Betul, bukan?

P/S: Maaf, maaf, maaf. Awak jangan balik dulu ye. Tunggu saya. Terleka membaca sebentar tadi, khilaf dengan perjalanan waktu. Baiklah, saya akui. Saya memang Si Kura-kura. :)

Friday, 8 February 2013

Insan Biasa



Ku ditinggal senja
Malam menghampiri
Sendiri ku dalam menanti
Segera oh angin sampaikan rinduku
Terlupakah kau pada janjimu

Ketika bersama rindu bergelora
Perpisahan menikam jiwa
Kau pandai mengusik kau pandai mengoda
Kini diriku yang kau tinggalkan begitu saja

Apakah ertinya ucapan manismu
Kau merinduiku
Mungkin hanya aku
Yang membiarkanmu menipu diriku

Biar luka menyiksa jiwa
Biar kasih tak kunjung tiba
Kerna pada hakikatnya diriku kau persenda

Aku hanya insan biasa
Lemah pada rayuan manja
Terlena dibuai mesra
Pada cinta yang hampa...

Di malam yang sunyi
Sepi menyendiri
Ku hulur dan menyusun jari
Ku pohon kau ubatikanlah rinduku
Bayang kasih dalam mimpiku
Menikam kalbu...

Biar kasih menyiksa jiwa
Biar ku yang mengemis cinta
Kerna sejak dari mula
Diriku yang tergoda

Aku hanya insan biasa
Lemah pada rayuan manja
Terlena dibuai mesra
Pada cinta yang hampa...