Monday, 14 January 2013

Tentang Cinta


Kata orang, cinta itu pelik.
Benarkah? Atau mungkinkah kita yang adakala sukar untuk memahami hati kita sendiri maupun mendalami hati si dia?
Cinta
adakala bila dicari
amat sukar untuk ditemui.
Apabila kita tidak perlukannya
ia menyelusup perlahan lahan menyimpul suka menjadi sayang.
Dalam pada kita bersyukur padaNya
kerana menemukan kita
dengan orang yang menceriakan hati kita dengan cinta
kenapa masih ada ketikanya
airmata deras mengalir? 
Ikutkan rasa, binasa. Ikutkan hati, mati.

Kata mereka lagi, perempuan bila benar benar sayangkan seseorang, cintanya sepenuh hati. Peratusnya penuh 100%. Lelaki pula , bila menyintai, tidak semua ruang hatinya diberi. Masih ada ruang yang dikawal oleh fikiran.  
Orang perempuan boleh mengucap kata sayang berkali kali dalam sehari. Orang lelaki berpegang pada prinsip 'tak perlu diucapkan'. Kalau tidak disebut kata 'bosan' atau 'benci', itu maknanya sayang masih ada. Tetap ada. Katanya, biarlah perbuatan melambangkan keikhlasan hati. 
Bagaimana agaknya andai mata tidak dapat melihat dan telinga tidak mendengar? Janji tidak pernah dipadu? Bagaimana menilai erti satu cinta itu? Kesamaran.
Cinta bukan pelik. Mungkin kita yang terlalu cuba mengertikan apa itu cinta.
Lafaz dari hati. Cinta jadi lebih bererti. 

Sunday, 13 January 2013

Mimosa


Kata Dia: 'Mimosa' itu hanya bebunga rumput liar. Walau ada yang melihat bunganya indah, hakikatnya Mimosa tetap dari rumpun keluarga 'rumput'. Tiada langsung nilai komersial, apatah lagi untuk dipuja sebagai ilham pemuisi.
Resmi duniayang indah dippuja-puja, yang capik diketepikanyang gagah disanjung tinggi, yang lemah dianak tirikanyang kaya dihormati, yang miskin di caci-caci.
Bukankah "Mimosa Pudica' itu hanya nama saintifik? Asal kejadian tidak berubah hanya dengan memanggilnya dengan nama lain. Daun 'Semalu' masih tetap akan menguncup bila disentuh maupun disapa oleh tiupan kuat sang angin. Bunga 'Semalu' berkembang sehari cuma. Sekuntum tidak kelihatan, banyak baru terlihat ungu di celah hijau rerumput. Tumbuhnya melata di longkang dan kawasan terbiar.
Hidup segan, mati tak mahu.Patah tumbuh, hilang senang berganti.Walau dipotong, umbinya masih mampu mengeluarkan pucuk yang baru.Ada tidak meramaikan, tiada tidak terasa.
Saya memandang dia. Dia dan falsafahnya yang pelbagai. Bukankah Tuhan telah jadikan setiap sesuatu itu ada yang sama dan ada yang berlainan? Rempah ratus dunia. Ada pelbagai rasa, pelbagai ragam. Saling melengkapi dan saling mempelajari erti kesabaran serta persaudaraan.
Mimosa.

Saturday, 12 January 2013

Kuatkah Hati Ini?


Kata mereka:
Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.

Kata saya:
Betul kata mereka. Terutama sekali bila hati dan harapan telah diberikan untuk seseorang, mata tidak akan memandang yang lain.

Biar ombak memukul, biar ramai yang menyapa, dia lah juga yang didambakan. Biar buruk pada pandangan mata orang lain, pada pandangan mata saya, keburukan itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan segala kegembiraan yang dilalui dengannya.

Walau sekalipun akan ada yang menyapa. Waima akan ada yang datang mungkin lebih baik darinya. Hati tidak mahu berganjak. Mata masih memerhati pintu yang tertutup.\\
Sesungguhnya akan tiba masa-masanya kita keliru ianya soal hati.
Adakala kita sendiri yang memilih untuk tidak melihat jalan keluar yang lain kerana kita takut apa yang mungkin menanti di sebalik pintu pintu itu..

Meletakkan kepala di permukaan kaca meja. Kontras. Pandangan berpinar seketika.

Kuatkah hati ini? Saya hanya ingin memejamkan mata. Saya ingin dia ...

Friday, 11 January 2013

Selangkah


Awak, setiap insan ada tahap keupayaan masing masing. Tahap yang berlainan.
Ada perkara saya mampu lakukan dan ada perkara yang diluar keupayaan saya.
Kudrat tak seiring dengan kemampuan. Saya takut saya tidak mampu jadi seperti yang awak inginkan.
Kata dia:
Awak terlalu banyak berfikir. Terlalu banyak risau, hingga setiap pergerakan awak sentiasa terkawal. Sentiasa ragu-ragu dalam membuat sesuatu. One day at a time, ok. Selangkah demi selangkah. Kita cuba yang terbaik, berubah untuk kebaikan bersama. Saya sentiasa ada dengan awak. Saya akan ada.
Selangkah. Demi. Selangkah.

Thursday, 10 January 2013

Dekat Padamu

**************************
Dekat padamu… arah ingin ku tuju
Walaupun jauh akan ku tempuh
Kerana hanya sunyi yang menemani hari
Semenjak kau pergi membawa diri

Oh dekat padamu…
Di sana kan bersatu
Dua jiwa yang telah terpisah
Kesetiaan yang telah kita sama ikrarkan
Ku pegang teguh… janji ku kotakan

Andai tersalah arah… berikan ku tanda
Agar kau terima yang sebaiknya
Jika cinta kita hanya sejarah lama
Sudilah ku cuba kali kedua

Walau jauh akan ku gegas berlari
Walau tinggi bisa ku terbang di langit
Walau sedalam mana akan ku selami
Kerana cinta sedalam itu mekar
bila ku dekat padamu

Dekat padamu… itu destinasiku
Tak kira apa jua kan ku terima
Harapanku kan terbuka pintu di hatimu
Dengan rela menunggu kehadiranku

Andai tersalah arah… Berikan ku tanda
Agar kau terima yang sebaiknya
Harapan mendorong ku mengusung
cinta kita
Janganlah dibalas rasa kecewa
~KRU~ 
***************************
Kata dia, bila hati telah ditawan, tidak mungkin akan berpaling pada yang lain..
tapi mungkin dia lupa..manusia ada had keupayaannya. Takdir Tuhan mengatasi segalanya.


Tuesday, 8 January 2013

Gurindam Jiwa 8


Langkah terhenti seketika.  Mata ligat memerhati sekeliling , mencari dari mana datangnya suara ketawa mengekek tersebut. Dia ke? Rasanya tak ramai yang punya gaya ketawa seperti itu.. Mungkin hanya 1 dalam puluhan sahaja. Rindu mencuit hati.
Hmm..bukan dia. Sebenarnya akal memang kuat berkata tak mungkin dia berada disini, tapi hati masih mengharap ada kemungkinan (walau hanya 10%) yang dialah pemilik ketawa tadi. Saya menggelengkan kepala  sambil tersenyum sendiri. Kenapa lah ye, hati memang selalu bertentangan dengan fikiran. Degil.. degil..dan degil.. seperti tuannya.
Walau kami berlainan ibu dan bapa, dan tiada sebarang talian kekeluargaan, tapi terasa banyak persamaan yang ada. Sebenarnya, kalau diikutkan, perbezaan kami juga banyak. Tapi bukan kah manusia ni lebih suka mencari apa saja persamaan yang ada bila dia sukakan sesuatu? Begitu juga jika sebaliknya.. 
Minda pantas meniti memori lalu. Arah perjalanan hidup kami agak selari. Cerita dia, seakan cerita saya juga. Bezanya..saya lebih suka memilih untuk menjauhkan diri bila masalah tiba. Mencari ruang untuk berfikir.
Ikin pula memilih untuk menghadapi apa jua rintangan dengan gelak tawa nya. Katanya, bila kita sedih dan kita layankan sedih tu, jiwa akan bertambah tertekan. Sepatutnya kita yang mengawal keadaan, bukan sebaliknya. Semakin tak ok, semakin kita kena 'ok' kan keadaan. Dan dia ketawa lagi.  
Adakalanya, saya ibaratkan dia bagai mentari, membawa sinarnya ke mana saja dia pergi. Mengusik dan diusik..  tawanya bergema lagi. Saya ingin sekali jadi seperti dia. Banyak perkara yang saya hanya mampu fikirkan, dia membuatnya dengan begitu mudah sekali.
Tapi, dia juga sebenarnya tidak sekuat yang saya sangkakan. Bila malam tiba dan tiada teman di sisi, dia akan jadi lebih rapuh dari saya. Waktu itu, saya pula cuba menjadi bahu tempat dia meluahkan rasa. Ibarat bulan yang hanya hadir diwaktu malam, walau cahaya nya tidak secerah mentari, namun sedikit sebanyak dapat menjadi tempat dia meluahkan rasa dan bercerita.
Apa agaknya khabar dia sekarang? Semoga segala masalah dia telah selesai. Hmm.. mungkin juga dia dah jadi jutawan seperti mana yang selalu dia angankan. Siapa tahu kan.. :) 
Mudah-mudahan.