Friday, 7 December 2012

Gelisah


Jam tangan sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Terlalu pantas rasanya masa berlalu.
Tap tup tap tup. Akhirnya, hari Sabtu tiba juga. Dia menatap wajahnya di cermin. Rambutnya sudah hampir menutup telinga. Kerana terlalu menghitung hari untuk bertemu Laila, dia jadi terlupa untuk ke kedai gunting rambut. Harap-harap Laila tidak perasan.

Kali ini walau apa pun terjadi, dia nekad tidak akan lari. Ini janji dia pada dirinya dan kawan- kawan alam maya di muka bukanya. Setelah makan malam ini selesai, dia akan balik dan kongsi setiap detik pertemuan antara dia dan Laila dengan mereka. Pasti mereka ternanti-nanti kepulangannya untuk mendengar episod berikutnya. Diari perjalanan cinta seorang dia.

'Maafkan saya. Saya harap saya tak terlewat', satu suara halus lembut menegur, memutuskan angannya. Gugur jantung dia bila mendengar suara halus Laila menyapa dari belakang. Laila! Laila sudah tiba. Dup dap, dup dap. Jantung seakan belum berhenti berlari. Dia menoleh perlahan lahan.

Ceh..itu bukan Laila. Seorang gadis berambut pendek tersenyum riang menyapa lelaki yang berada di belakang dia. Mana Laila? Jangan-jangan Laila tidak jadi datang.

Tidak! Tidak! Laila pasti akan datang. Bukankah masih awal lagi. Hmm..sudah pukul berapa ye. Dia memandang jam tangannya. Oh! Sudah lebih 5 minit. Ah! Dia memang lelaki malang. Nampaknya Laila tidak datang. Senyuman bertukar muram.
Dia memandang ke arah gadis berambut pendek tadi yang kini rancak berbual bersama teman lelakinya. Usik mengusik, manja. Alangkah bagusnya kalau dia dan Laila berada di tempat mereka itu.

'Cantik sungguh cuaca malam ini bukan.' kata teman lelaki gadis berambut pendek. ' Awak tengok sana tu. Bulan mengambang penuh dikelilingi serangkaian bintang. Lama tidak lihat pemandangan seperti ini'

Dia turut mengalihkan pandangan melihat ke arah langit. Benar. Cantik sekali langit malam ni. Hampir sebulan, cuaca sentiasa mendung apabila tiba waktu malam. Langit gelap pekat dan udara terasa sejuk hingga ke tulang putih. Namun malam ni suasana begitu lain sekali. Indah.

Tiba tiba pandangan dia tertumpu pada sesosok tubuh yang menghampiri. Rambut yang panjang ditiup mesra, terbuai oleh bayu malam. Semakin hampir. Sebuah senyuman manis yang semakin menyerikan satu wajah itu. Laila.

'Hai, awak. Maafkan lah saya kerana terlambat. Ada kawan datang ke rumah saya tadi.' suara lembut Laila menghilangkan segala keresahan dan menyejukkan jiwa. Hilang gelisah. Tidak mengapa Laila, seribu tahun pun sanggup ditunggu semata-mata untuk melihat senyuman dan mendengar suaramu.

Sesaat fikiran menjadi kosong-sekosongnya. Tenang bagaikan air ditasik.
Laila, Maafkan saya. Saya rasa saya benar-benar telah jatuh cinta padamu, Laila.

Thursday, 6 December 2012

Selamat Malam Alam..


Selamat tidur pohon pohon hijau
Kerana malam telah lewat
Rapatkanlah daun daunmu
agar dapat menyelimutimu dari kesejukan malam..
Dan biarkan lah ranting ranting dahanmu istirehat..

Supaya esok.
Dirimu bisa bangun
Dan bersedia hadapi sinaran mentari
Dan tegak menahan diri
Menentang pembangunan yang kian menjadi jadi

-Marzukie Ali-

Wednesday, 5 December 2012

Hati IV


Hati seakan bongkah salji yang mencair.
Bermula dengan rekahan kecil, perlahan-lahan meretak, menitis, sehingga akhirnya mengalir deras seperti sungai. Melimpah, menenggelami, membanjiri seluruh jiwa dan jasad. Membasuh bersih segala kesedihan. Damai.
Hati tidak lagi beku. 

Tuesday, 4 December 2012

Baik



Saya tunduk dan diam sebentar.
Tidak tahu bagaimana hendak membalas kata-kata pujian dia tadi.
Memang saya senang bila berbual dengannya. Terasa dekat dan hampir dengannya
Namun,  pada masa yang sama wujud perasaan tidak selesa. Tak tahu bagaimana hendak diterjemahkan satu rasa ini. Mungkinkah ianya adalah rasa malu?
Rasanya seperti bila seseorang memuji kita dikhalayak ramai. Atau mungkin juga saya takut seandainya saya sebenarnya bukan seperti apa yang dia sangkakan.
Saya tidak sebaik itu ...

Monday, 3 December 2012

Umpama Mimpi Dalam Mimpi


Kenangan bersamamu kasih
Seumpama mimpi di dalam mimpi
Terasa engkau di sisi
Menemaniku saban hari

Pabila kupejamkan mata
Akan terasa hangatnya asmara
Walaupun sekian lama
Telah terpadam cinta kita

Luka yang tak terasa
Mengalir darah yang tak berwarna
Bagai jeritan tanpa
Suara..

Tangisan dalam ketawa
Sedu sedan menjadi syair cinta
Terasa ingin ku sentuh
Bayanganmu
Walau hanya seketika cuma
Agar hilang rindu dan dahaga
Agar pulih semangat kasih dan mesra
Seperti baru kenal cinta

Kenangan bersamamu kasih
Membakar gedung fikiranku kini
Terasa hidupku ini
Umpama mimpi dalam mimpi
Umpama mimpi dalam mimpi...

Sunday, 2 December 2012

Bayangan Mu


Sejauh mana dapat kita berlari
Sejauh mana dapat menghindari
Dari kerinduan bila berjauhan
Sering datang di mataku

Deburan ombak mengganti suaramu
Nyanyian camar lagu untukmu
Tapi aku sepi hilang pengganti
Hanya tinggal dalam penantian abadi

Kasih sayang tiada erti
Bila membakar diri sendiri
Apalah kerinduan andai tiada..
Kesetiaan

Di batas ini kita berdiri
Basah matamu mengharu hati
Ini pengorbanan ini ketentuan
Apa yang kini ku miliki bayangmu

Kasih sayang tiada erti
Bila membakar diri sendiri

Saturday, 1 December 2012

Cermin 7


Bermula dari saat itu, setiap malam kami akan berjumpa selepas semua orang telah pulang ke rumah masing-masing. Ada saja topik perbualan yang dimulakannya. Adakala dia berkongsi tentang pengalaman dan cabaran yang dia hadapi sepanjang hidupnya. Adakalanya pula, dia akan membuka topik tentang sejarah negara atau paling tidak tentang lagu dan muzik. Tak ada satu saat pun dia akan biarkan waktu berlalu dengan sia-sia.

Ada waktu nya juga, seperti pada malam ini, dia mengajar saya tentang kereta. Saya tidak langsung diberi peluang untuk memilih topik. Dan saya juga tidak kisah. Kata dia, saya akan faham tujuannya memilih topik tersebut bila tiba masa sesuai nanti. Pada saya, semua itu tidak penting. Saya cuma suka waktu yang saya habiskan bersama dia.

Malam ini, kami pergi ke workshop kawannya, tidak jauh dari tempat saya bekerja. Tujuannya, belajar cara cara membersihkan enjin dan kenal bahagian bahagian yang ada di dalam sebuah kereta. Susahnya. Kata dia, orang perempuan hanya tahu bawa kereta saja, tapi tak pernah nak ambil tahu cara untuk menjaga kereta. Ceh.

Dalam mendengar segala apa yang dia ajar, saya memandang wajahnya. Dia memang kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila dia senyum. Adakalanya pula dia  nampak berusia. Hidup dia pasti banyak dugaannya juga. Saat seperti ini, saya jadi risau dan bimbang tentang dia. Tuhan, panjangkanlah umur dia. Bukan kerana saya takut tidak habis belajar lagi dengan.

Namun, kerana dia satu satunya insan yang paling rapat dengan saya waktu ini. Saya takut saya juga akan kehilangan dia sebagaimana semua orang yang rapat dengan saya telah pergi dari hidup saya. Tidak, perasaan ini bukan cinta.

Saya sayangkan dia seperti sayang seorang murid pada seorang cikgu, sayang seorang adik kepada seorang abang. Tidak salah, bukan?

Tiba tiba dia menoleh dan memandang saya dengan pandangan yang sukar saya tafsirkan. Di campakkan sehelai kain pengelap ke arah saya. Dia tersenyum 'Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya tidak akan ke mana-mana. Mari sini dan lap bahagian enjin sebelah kiri sana. Kita ada 15 minit saja lagi'.

Saya balas senyuman dia. Ah, dia seperti tahu saja apa yang saya fikirkan. Yang nyatanya dia mengajar saya kembali menjadi diri saya yang dulu. Saya tidak menangis lagi dan setiap malam, saya kini mampu tidur lena tanpa perlu pertolongan sebarang pil.

Hilang seseorang dalam hidup bukan alasan untuk kita berhenti hidup.
Biarlah hati terus berbicara tentang rindu, tentang sabar dan tentang hari esok.