Saya tidak pernah meminta agar perasaan ini hadir dan tidak pernah juga menduga ianya datang dengan kesan yang begitu mendalam sekali. Bahaya dan risiko membuka walau satu ruang kecil pun untuk satu perasaan yang dinamakan cinta. Datangnya secara halus, kesannya bagikan bom atom yang meletus di Hiroshima. Mengubah seluruh pegangan dan kehidupan.
Mungkin saya tidak faham dengan permainan dunia cinta. Mungkin saya tidak arif dengan apa yang dikatakan kehidupan, dengan segala peraturan peraturan yang perlu di pelajari sebelum melangkah masuk ke alam ini. Apa yang saya tahu, cinta sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih kuat, lebih bahagia. Cinta bermaksud menerima seseorang itu dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya, menerima dia sebagai dirinya. Memberi dan menerima.
Cinta, bagi saya, adalah meluahkan apa yang terpendam. Melafazkan apa yang difikirkan dengan seikhlas nya. Cinta itu mengambil tahu tentang orang yang dicintai, bertanya khabar tentang sakit peningnya, peka kepada apa yang mampu membuatkan dia tertawa, apa yang dia impikan dan apa yang boleh membuatkan hati nya terluka.
Berkongsi kegembiraan dia walaupun ianya bukan disebabkan oleh diri kita, dan turut berasa sedih tatkala dia sedih atau dalam kesusahan. Keinginan untuk melihat dia gembira walau apa jua harganya. Cuba menjadi seberapa sempurna untuk dirinya.
Rindu adalah sebahagian dari cinta. Rindu pada suara, rindu pada kebaikannya, rindu pada sentuhannya, senyumannya, gelak tawanya serta rindu pada kelembutan dalam bicaranya dan rindu pada kehadirannya. Rindu itulah juga yang menyeksakan apabila dia mendiamkan diri. Melebihkan orang lain dari saya. Sakit.
Cinta itu adakalanya menyakitkan. Andai tersilap perkiraan, rajuk jadi permainan. Jika ego menguasai, tiada siapa yang datang menyakinkan atau melapangkan hati kecuali diri sendiri. Seperti berbicara sendiri, pelbagai andaian dan bisikan bermain di hati. Hati mula tertanya-tanya sendainya diri bukan lagi sesuatu yang penting dalam kamus hidupnya, seandainya diri hanya sekadar bagi memenuhi ruang yang kosong. Maka itu bukan lah cinta sejati. Hanya satu kategori dari cabang cinta.
Bila merasa dengan perasaan, makanan sesedap manapun akan terasa hambar. Hati tugasnya untuk merasa dan hati juga lah yang boleh membuatkan seseorang merasa bahagia atau derita. Akal, sebaliknya, menggunakan logik. Menapis peristiwa dan membuat keputusan dari apa yang dianalisakannya. Namun adakalanya data yang di sampaikan oleh hati terpesong oleh impian yang mengaburi jiwa.
Akal tertanya-tanya untuk melangkah pergi atau terus mengharap. Andai ada kata dua dari dirinya yang dapat menyokong rasa hati, diri akan terus bertahan. Namun andai sepi terus menghantui dan tiada apa yang dapat menyakinkan, maka bila tiba waktunya, akal yang akan memimpin hati membawa diri pergi jauh dari cinta.
Satu ayat, hanya satu ayat, yang perlu. Yakinkanlah hati ini yang hubungan ini cukup bererti.
Bila hati berbicara.. senandung lagunya adakala ria, adakala lara dan adakala sepi tanpa kata..
Tuesday, 7 August 2012
Dari Hati Ke Hati
Monday, 6 August 2012
Jalan Kembali
Semakin hari semakin kerap mata memandang langit di waktu malam. Sunyi terasa, hanya bertemankan angin yang membelai lembut wajah. Bibir tidak bosan mengucap syukur kerana masih boleh menikmati keindahan malam. Suasana sepi ternyata berjaya mengubah diri ini menjadi seorang pemikir.
Berfikir tentang apa? Tentang kehidupan dan tentang kematian. Berfikir tentang dosa dan pahala. Berfikir tentang masa hadapan yang masih kelam. Suram.
Bagaimana agaknya kehidupan di alam yang satu lagi? Amalan rasanya masih terlalu sedikit. Dan diri takut berada dalam kegelapan. Bayangkan..gelap malam, masih ada cahaya bulan. Gelap di alam kubur? Pastinya lebih menakutkan. Satu keluhan terlepas bebas.
Pesan ayah satu ketika dulu:
Jaga amalan kita. Yang wajib jangan ditinggalkan. Yang sunat elok dilakukan. Yang makruh hendaklah dijauhkan. Juga jangan lakukan dosa dosa besar. Amalan kitalah yang akan membuatkan kubur kita luas dan lapang.
Satu keluhan lagi terlepas dari bibir. Suatu ketika diri pernah kecewa, terluka dan hidup dalam tangisan. Terlupa segala ajaran dan pesanan ayah. Apa yang ada cuma rasa kehilangan, kekosongan dan kesedihan yang teramat dalam. Siapa yang merasa sahaja, pasti akan mengerti pilu di hati.
Sunday, 5 August 2012
Hakiki
Cinta hakiki ialah cinta yang bertakhta di akal dan di hati.
Sebelum mata melihat atau saling bertemu, hati sudah bertaut.
Jiwa disatukan oleh tali Allah dan bukannya oleh nafsu dan kepentingan diri.
Saturday, 4 August 2012
Mencari Arah..
Gadis membuka luas jendela kamar, memberi izin angin malam masuk menemani diri. Resah jiwanya, kacau mindanya . Terganggu dengan pelbagai soalan yang bertalu-talu menerpa meminta perhatian. Bingit.
Jawablah dengan jujur, Gadis. Jawablah seikhlasnya dari hati. Tidak perlu berbohong pada diri sendiri.
Relakah diri bila suatu masa nanti kamu akan kehilangan Jejaka? Sudah bersediakah? Relakah kamu, Gadis, andai keputusan tidak memihak pada diri? Seandainya dia melangkah pergi. mengikut pilihan yang satu lagi?
Kenapa Cinta dan sayang tidak sentiasa membawa kebahagiaan? Kenapa cinta juga datang bersama kesedihan? Bagaimana ingin menjadi seorang yang “kuat”, agar hati tidak terlalu bersedih andai saatnya tiba untuk berpisah.
Kata orang berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Begitu juga kepercayaan Gadis. Gadis benar-benar mencintai dia. Gadis percaya hati Gadis dan hati Jejaka juga sama. Saling mencintai.
Kata orang sekeras mana pun hati manusia, pasti wujud jika tidak banyak, sedikit perasaan belas kasihan dan ehsan di dalamnya. Namun di manakah ehsan itu bila ianya tentang Gadis? Atas nama sebuah ehsan itu, janganlah di buang seorang Gadis dari hidup seorang Jejaka.
Angin bawalah segala rahsia hati ini dan bisikkanlah pada telinga Jejaka.
Friday, 3 August 2012
Satu Ucapan Cuma

Kata Jejaka:
Awak tahu..orang kata salji di sana berwarna coklat, dan bukannya putih seperti yang awak lihat di majalah. Semuanya sebab tempat tersebut telah dilanda pencemaran udara yang teruk. Mungkin kalau kita buat orang salji kat situ, warna dia pasti coklat dan bukannya putih. Buruk.
Kata Gadis: Awak, saya ke sana bukan untuk bermain salji. Lagipun, cuaca di sana bermusim. Bukan musim salji semata.
Kata Jejaka: Awak ada tengok berita di televisyen semalam? Dengar kata, banyak berlaku jenayah dan mogok di sana. Pelajar-pelajar sentiasa membawa alat pemedih mata bersama mereka sebagai langkah-langkah keselamatam..
Kata Gadis: Awak, saya tau semua itu. Esok, saya akan berangkat ke sana. Tentu susah untuk kita berjumpa selalu seperti sekarang ni. Menulis surat pasti tidak sama seperti kita berjumpa dan berbual, bukan?
Kata Jejaka: Awak akan pulang sekali-sekala bukan? Pada musim cuti semester?
Kata Gadis: Cuba awak berikan saya sebab kenapa saya harus pulang ke sini.
Kata Jejaka: Sebab yang pertama, pemandangan di sini asli dan cantik. Tak mungkin awak dapat lihat pandangan seperti ini di sana. Sebab yang kedua, ini kan kampung awak.
Kata Gadis: Itu saja sebab-sebabnya? Tiada lain?
Kata dia: Iye. Itu saja.
Kata Gadis: Pemandangan di mana pun sama saja bagi saya. Setiap tempat pasti ada keunikan nya sendiri. Bagi saya, tempat ini tidak ada apa-apa istimewanya kecuali kenangan-kenangan pahit yang saya ingin lupakan. Tidak ada apa pun yang dapat membuat saya ingin kembali melainkan ... jika awak ada alasan lain.
Jejaka diam tanpa kata. Hanya memandang jauh ke satu sudut. Payah untuk Gadis selami apa yang terbuku di hati Jejaka. Ah. Jejaka masih tidak mahu memujuk. Sedangkan Gadis hanya perlukan satu ucapan, satu janji dari Jejaka yang dapat membuat Gadis pasti kembali.
Kata Gadis selepas sepi yang panjang: Dunia kita pasti akan berbeza mulai hari ini. Saya harap awak akan bahagia dengan jalan awak. Doakanlah agar saya juga bahagia dengan jalan yang saya pilih. Biarlah kita berpisah di sini saja. Awak tidak perlu menghantar saya ke lapangan terbang esok.
Gadis terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kejamkah dia? Andai kejam, kenapakah ada titisan airmmata jernih mengalir deras di wajahnya?
Thursday, 2 August 2012
Illusi
Apabila berbual dengan teman, ramai yang menyuarakan keinginan untuk kembali ke zaman kanak kanak. Gadis tidak begitu. Gadis lebih suka kehidupannya sekarang walau ia juga penuh dengan onak duri tajam mencucuk tubuh.
Terus terang, Gadis cuma ada cebis cebisan bayangan kehidupan masa itu. Kebanyakan memori hitam telah Gadis padamkan dari ingatan. Hitam. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa cara Gadis seolah cara seorang penakut tapi itulah satu satunya cara Gadis berjaya meneruskan hidup dan perlihatkan senyuman kepada dunia.
Andai Gadis katakan Gadis orang susah, tiada siapa akan percaya. Tentu saja, siapa akan percaya anak seorang Guru Besar hidupnya susah. Cara percakapan, cara makan dan pencapaian akedemik Gadis lebih menghala kepada pendidikan British, sudah cukup untuk membuatkan Gadis dikelaskan dalam kategori orang atasan. Ini dikuatkan lagi apabila Gadis terpaksa berbuat seolah seperti tidak berminat untuk menyertai sebarang aktiviti persatuan untuk menutup realiti yang dia tidak mampu untuk membeli pakaian seragam mahupun menyertai aktiviti persatuan. Abang-abang Gadis mampu berlakon dengan sempurna dan memekakkan telinga pada kata-kata sinis orang sekeliling tapi Gadis dengan hati serapuh biskut, lebih suka menyendiri dalam dunianya.
Illusi semakin sempurna setiap hari.
Subscribe to:
Posts (Atom)




