Sunday, 24 April 2011

Pesanan Abang


Sewaktu bermenung di tepi tingkap, melayan rasa dan kenangan, abang memberi salam dan mengambil tempat duduk di sisi.  Kata abang. 'Jangan bersedih lagi ye adik. Kita kena pasrah dengan segala ketentuan Tuhan. Setiap yang hidup, pasti akan sampai masa untuk kembali pada Nya.

Saya bertanya : Abang, apa itu pasrah?
Kata abang : Pasrah itu penerimaan dan perjuangan
Saya masih keliru. Panjang penerangan abang, namun ianya tidak dapat hilangkan rawan di hati. Masa beredar..dan episod tersebut tertanam jauh di sudut paling dalam di ingatan.
         ***********

Semalam, saya lemas dalam kesedihan dan kemelut masalah. Perit dan jerih silih berganti. Namun saya memaksa diri untuk bangkit dan pesanan abang muncul semula di ingatan.

Perlahan lahan..saya mula faham apa itu pasrah.

Pasrah bukannya menangis semata tanpa berbuat apa.. Itu namanya mengalah..
Pasrah itu menerima apa jua musibah yang datang dengan hati yang tenang dan terbuka.
Pasrah bukan menyerah, apatah lagi menyalahkan takdir.
Pasrah itu percaya kepada Qada dan Qadar, sambil hati tetap bersyukur.
Pasrah itu teruskan usaha sambil sentiasa ingat yang kita manusia cuma merancang, tapi Allah yang menentukan.

Pesanan abang : Dalam kesedihan, jangan sesekali berputus asa. Terus berusaha. Kalau masih tak berjaya, buka kan minda dan ikhlaskan hati untuk terima kenyataan. Itu maksud sebenarnya pasrah...

Hari ini, walau mereka telah tiada..saya rasa amat bersyukur. Kerana saya masih ada kenangan, masih ada pesanan pesanan abang mengiringi saya dalam mencari erti sebuah kehidupan. Walau jauh di mata, namun sentiasa dekat di hati..

Saturday, 23 April 2011

Bayu Yang Menyentuh


Kata orang, cinta itu mempunyai kekuatan untuk menukar istilah 'saya' dan 'awak' menjadi 'kita'. 
*****
Sejak pertama kali kami bertukar bicara, ada sesuatu yang halus mula bergetar di hati.
Bagai dua magnet yang berlainan kutub, hati terpanggil untuk menyapa dia tatkala terlihat dia ada di talian muka buka. Ingin. Sungguh-sungguh ingin. Namun terasa tidak berhak untuk mengganggu dirinya. Saya ingin bersembunyi, ingin menghilang.

Tuhan, apakah satu rasa ini? Apa yang ada di hati ini? Mungkin dalam suka, wujud rasa takut untuk mendengar apa jawapan yang bakal diucapkan oleh dia. Bagaimana jika dia menolak? Bagaimana pula jika dia menerima? Berat persoalan yang bermain di fikiran. Banyak yang harus di pertimbangkan. Ada hati-hati lain yang perlu dijaga.

Belum sempat saya melangkah jauh, dia lebih pantas menahan saya. Sambil tangannya masih menggenggam lengan saya, dia meluahkan segala yang tersirat di hati. Oh, ianya sama seperti apa yang saya rasakan. Bergetar bibir, bisu dan kelu. Ingin melonjak ke langit ketujuh. Tenanglah hati. Tenang. Ah, manakan boleh. Bibir ingin senyum dan terus senyum. Tiada jalan pulang.

Tuesday, 19 April 2011

Retak Seribu



Sakit. Pedih. Pilu.

Dia masih di situ. Duduk memeluk lutut di tengah sawah padi, menangis hiba, meratap malang nasibnya. Terlindung oleh padi yang hampir ranum kekuningan, airmatanya bagai punca air yang tak berpenghujung, mengalir seakan tidak mahu berhenti. Mata yang sepet, kian membengkak tidak dihiraukan. Sedu sedannya yang tak berirama kedengaran timbul tenggelam.

Peduli apa pada pandangan orang. Biarlah mereka berkata semahu mereka.

Yang dia tahu, hatinya retak seribu.
Yang dia rasa, dunianya telah hancur.
Yang dia mahu, putarkan kembali masa kepada hari semalam.
Yang dia impikan, menjejakkan kaki ke Menara Gading.
Yang dia ingin padamkan...bicara emak sebentar tadi yang memaksa dia menerima pinangan Penghulu Malek.

Seekor belalang panjang sejengkal melompat ke atas daun padi di hadapannya. Semakin tunduk pokok padi ke bumi, lantaran menampung berat si belalang.

Sang belalang merasa sedikit daun dihadapannya, mungkin tidak menepati rasa, lalu meneruskan lompatan ke pokok padi seterusnya..

Jeda.

Dia tidak ingin jadi belalang. Dia tidak mahu hidupnya sama seperti hidup belalang. Memakan daun, melompat, memakan daun lagi, sementara menunggu saat ada belalang jantan yang memilihnya sebagai pasangan. Menetas. Makan dan membesar. Berpasangan. Bertelur. Mati.

Tidak, dia tidak mahu kitaran hidup sebegitu. Hidup serupa mati, nama diingat sentiasa sebagai makhluk perosak.

Dia ingin menjadi seperti rama-rama. Dari telur kepada ulat bulu, beluncas, pupa dan akhirnya keluar dari kepompong sebagai rama-rama yang bukan sahaja cantik tapi berbakti sebagai agen pendebungaan alam flora. 

Emak..tolonglah fahami anakmu ini.

Esak tangisnya bertali arus. Hanya terhenti bila letih mengambil alih, lesu mengundang lena.

Tertidur dia di atas batas, bertilamkan tanah, berbedakkan debu di wajah. 

Apa yang dia mimpikan? Belalang dan rama-rama?


-30092012-

Monday, 18 April 2011

Menanti


Apa Benar
Cintaku Ada
andai Benar
Mana Buktinya
suluhlah untukku
yang hampir Berputus Asa
mencarinya

berikanlah sinar Yang Nyata
biar mudah Ku Memegangnya
tak Rela Dilanda Kecewa Bagai Gelora
lebih Lama
sehingga Tiada...

Menanti
kasihmu
Sayangmu
merangsang Semula
perasaan Keinsananku

Sunday, 17 April 2011

Sesejuk Air Mengalir



          DIA & CINTA

Kata dia: Cinta itu adalah sesuatu yang amat remeh, leceh.
Bukan cara saya untuk turut berlakon dalam sandiwara dunia dengan bermain kata, melafaz ayat-ayat yang berbunga demi menzahirkan rasa cinta terhadap seseorang. Tanpa sebarang ucapan bersulam tujuh warna pelangi, sebuah ikatan perkahwinan yang tulus masih boleh dicipta, bukan? Bukti cinta seharusnya dilihat melalui perbuatan, dan bukan dari sebuah pengucapan yang belum tentu kebenarannya. Lidah manusia tidak bertulang. Lantas, bagaimana mahu percaya pada lidah yang bertindak hanya mengikut arahan akal?


SAYA & CINTA
Kata saya: Cinta itu perlu diucapkan. didengari. Bukan sebagai lisan tanpa makna tapi lebih sebagai halwa telinga dan jiwa, dilafaz dari hati ke hati. Apatah lagi apabila hubungan telah dimetrai dengan sebuah ikatan. Adakala sukar untuk membaca hati dan perasaan seorang lelaki yang sentiasa tenang dalam apa jua keadaan. Satu ungkapan yang terkandung 3 perkataan itu amat besar ertinya.
Umpama pepohon yang mengharap ianya disiram dan dibajai selalu. Agar rasa cinta itu mekar dan subur sentiasa di taman hati. Seperti air jernih mengalir turun dari pergunungan, anugerah yang mendamaikan resah sekeping hati. 

Friday, 15 April 2011

Cantik


Ditaman ini, dua hati bertemu walau bibir kelu untuk berkata. Sepasang merpati putih di atas dahan bercanda, mencuit rasa. Mata menjeling, saling mencuri pandang, si dara tersipu malu, terasa kekok dengan cinta yang mula bersemi di hati..
*****************************************
Dara :
Mengapa saya yang di pilih? Ramai lagi wanita lain di sini yang jauh lebih cantik dan lebih padan dengan awak berbanding diri saya.

Uda:
Awak..cantik itu sesuatu yang subjektif. Ada orang kata mata biru adalah mata tercantik di dunia. Ada orang pula suka pada yang empunya mata coklat serta berambut hitam panjang mencecah bahu. Ada yang minat pada yang berhidung mancung dan ada pula yang suka pada lesung pipit yang menghias wajah.

Cantik tu terpulang pada orang yang melihat. Bukan pada tuan punya diri.
Pada saya, cantik itu bukan hanya terletak pada mata. Cantik itu datang dari hati. Kalau wajah saja cantik, tapi percakapan dan tingkah laku tak sehaluan, maka cacatlah kecantikan itu pada mata yang memandang.

Cantik itu ialah bila wajah turut memaparkan keikhlasan hati. Bila mata melihat, jiwa menjadi tenang. Sejuk terasa di jiwa, ibarat hujan yang menimpa bumi selepas sebulan kemarau. Cantik itu lah yang ada pada awak. Cantik itulah yang saya perlukan untuk mendamaikan hati saya. Dan cantik itu tidak akan hilang di hati saya walau ditelan usia.
************
Sekali lagi saya terdiam dan tersenyum...

Tuesday, 5 April 2011

Menyulam Mimpi



Suasana petang ini begitu tenang. Rasa bahagia berbunga lagi. Ruang yang kosong dijiwa akhirnya terisi sudah.

Mata melirik memandang wajahnya sekali lagi. Senyumannya sungguh mendamaikan hati. Saya harap cinta ini tidak akan pudar dimamah waktu. Selagi hayat di kandung badan, selagi itulah perasaan ini akan ada.

Saya harap dia juga begitu, terus mencintai saya dan menyulam nama saya di sudut hatinya. Mudah mudahan cinta ini akan kekal selamanya..